
Suhaizan berdepan tiga penjuru di PRK Pulai
Calon Kerajaan Perpaduan, Suhaizan Kaiat berdepan persaingan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai pada 9 September ini.
Bakal penerus perjuangan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub itu sah akan bertempur dengan calon Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Jaafar yang juga Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Pulai.
Turut ke gelanggang pemilihan melibatkan 166,653 pengundi itu ialah Samsuddin Mohd Fauzi yang bertanding atas tiket Bebas.
Pengumuman berkenaan dilakukan Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya bagi PRK P161 Parlimen Pulai, Miswan Yunus.
Terdahulu, SPR menerima kertas pencalonan daripada tiga calon berkenaan dengan tiada pencalonan yang ditolak.
Suhaizan, 50, merupakan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor juga Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor dan Ketua AMANAH Bahagian Pulai.
Pada PRU15 lalu, Salahuddin berjaya mempertahankan kerusi Parlimen P.161 Pulai selepas meraih 64,900 undi dengan majoriti 33,174 undi.
Timbalan Presiden AMANAH berkenaan menewaskan Datuk Nur Jazlan Mohamed (Barisan Nasional) yang memperoleh 31,726 undi, manakala calon PN, Loh Kah Yong dengan undi sebanyak 20,677.
BACA JUGA PH-BN perlu menang besar bukan tipis