
Suhaizan pasti bawa legasi Rahmah demi rakyat
Pemuda AMANAH Nasional menyifatkan calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat pasti akan terus membawa legasi Rahmah yang telah dibina oleh Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Exconya, Ridhuan Esa berpendapat Suhaizan seperti patah tumbuh, hilang berganti setelah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu meninggal dunia pada 23 Julai lalu.
“Sebagaimana sifat Allahyarham mantan Ahli Parlimen (MP) Pulai, Suhaizan Kayat bagaikan patah tumbuh, hilang berganti setelah Allahyarham meninggalkan kita semua.
“Ketika Allahyarham mantan MP Pulai menjawat jawatan Menteri di Kementerian Perdangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKS), beliau adalah Setiausaha Politik (Setpol) kepada Menteri.
“Pastinya, Suhaizan Kayat merupakan sebahagian daripada idea dan pelaksana kepada program RAHMAH yang menjadi legasi besar Allahyarham Salahuddin Ayub,” katanya menerusi satu kenyataan.

Suhaizan bersama Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Armizan Mohd Ali yang memangku tugas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Liew Chin Tong semasa Program Jualan Rahmah Bergerak di Taman Perling.
Menurutnya, Suhaizan dikenali sebagai pemimpin yang penuh hikmah dan berhemah dalam tutur kata dalam memberi nasihat dan pandangan.
Katanya, Suhaizan tetap istiqamah dalam perjuangan untuk terus berkhidmat dalam wadah politik walaupun telah tujuh kali tidak menang dalam pilihan raya.
“Antara peristiwa yang menyerlahkan jiwa besar beliau adalah dengan memberi laluan kepada calon Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) bagi kerusi DUN Puteri Wangsa ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
“Pengalaman beliau sebagai Yang Dipertua (Speaker) Dewan Undangan Negeri Johor adalah salah satu nilai tambah untuk pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai memilih beliau sebagai MP Pulai yang baharu,” ujarnya.
Justeru, Ridhuan menyifatkan AMANAH tidak ketandusan kepimpinan apabila kehilangan pemimpin kerana dibarisi kepimpinan pelapis yang bersedia untuk menggalas tanggungjawab besar untuk berkhidmat kepada rakyat sebagai wakil rakyat sama ada di peringkat DUN dan Parlimen.
“Beliau (Suhaizan) pastinya akan terus membawa legasi RAHMAH yang telah dibina oleh Allahyarham (Salahuddin) ke satu aras yang lebih tinggi.
“Semoga legasi RAHMAH yang akan disambung kelak oleh Suhaizan Kayat, akan mengalirnya pahala amal baik kepada Allahyarham Salahuddin Ayub, Bapa Rahmah Malaysia,” kata Ridhuan lagi.