Syarikat konglomerat digesa menyokong industri seni, sastera

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa syarikat besar terutamanya syarikat konglomerat untuk menyokong industri kesenian dan kesusasteraan.

“Seperti mana saya gesa dulu, ada usaha dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, seni, teater untuk (syarikat besar) memberikan dokongan mereka.

”Kalau kita ada dalam 30 konglomerat beri sokongan dalam pelbagai bidang, itu akan memperkayakan seni, sastera, budaya dan pendidikan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Pameran Lukisan Orientalis: Cerminan atau Bayangan? di Muzium Kesenian Islam, di ibu negara hari ini.

Mengulas mengenai pameran itu pula, Anwar berkata, pameran anjuran Muzium Kesenian Islam Malaysia itu adalah antara yang terbesar di dunia.

”Mungkin ramai tidak tahu tentang pameran ini. Ia agak unik kerana belum dapat dihebahkan dan dipersembahkan di mana-mana di dunia melainkan di muzium London, itu pun skala kecil.

“Skala besar begini, ini yang terbesar yang pernah diadakan di dunia. Jadi sewajarnya masyarakat menggunakan peluang ini kerana kalau ke tempat lain, kosnya terlalu tinggi,” ujarnya lagi.

Pameran Lukisan Orientalis: Cerminan atau Bayangan? memaparkan hubungan antara Eropah, Amerika dengan dunia Timur yang telah diterokai oleh Muzium Kesenian Islam Malaysia sejak 15 tahun lalu.