Syed Saddiq perlu letak jawatan kalau bermaruah – AMK

Syed Saddiq perlu letak jawatan kalau bermaruah – AMK

Angkatan Muda Keadilan (AMK) mendesak Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengosongkan kerusi diwakilinya selepas menarik diri sebagai penyokong Kerajaan Perpaduan berkuat kuasa hari ini.

Ketua Penerangannya, Haziq Azfar Ishak berkata, tindakan itu perlu dilakukan jika Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) berkenaan bermaruah memandangkan kerusi Parlimen Muar yang dimenangi adalah kerana bersama Pakatan Harapan (PH).

“Umum diketahui kerusi Parlimen Muar yang dimenangi olehnya disumbang oleh kekuatan sokongan, jentera dan pengaruh dari Pakatan Harapan yang memeterai electoral pact dengan Parti Muda.

“Ini jelas terbukti pada poster dan bahan kempen beliau sewaktu bertanding di Parlimen Muar pada PRU15 yang lalu diselitkan sekali logo Pakatan Harapan serta kekalahan memalukan sehingga hilang deposit selepas Muda mengambil keputusan bertanding secara solo dan tidak lagi melakukan electoral pact bersama Pakatan Harapan dalam PRN,” katanya menerusi kenyataan malam ini.

Syed Saddiq menerusi kenyataan video di media sosial petang tadi mengumumkan secara rasmi menarik diri sebagai penyokong Kerajaan Perpaduan berkuat kuasa serta merta dan memilih menjadi pembangkang kuasa ketiga dalam Dewan Rakyat.

Dia berkata, keputusan itu sudah dimaklumkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Datuk Johari Abdul, melalui surat rasmi memohon pertimbangan berbuat demikian di bawah Peraturan Mesyuarat 2(2) Peraturan-Peraturan Majlis Dewan Rakyat.

Menurutnya, antara sebab utama tindakan itu adalah kerana langkah Kerajaan Perpaduan di bawah kepemimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, akhir-akhir dilihatnya bertentangan dengan prinsip kedaulatan undang-undang.

Mengulas lanjut, Haziq Azfar berkata, Syed Saddiq perlu mengosongkan kerusi Parlimen Muar seperti pernah dilakukan oleh bekas Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad selepas dipecat daripada UMNO lalu bertanding semula sebagai Bebas dan menang pada tahun 1988.

“Ini penting kerana kemenangan beliau di Parlimen Muar bukanlah atas kapasitinya sendiri atau Parti Muda sebagai third force tetapi atas semangat Parti Muda sebagai electoral pact bersama Pakatan Harapan.

“Kegagalan beliau mengosongkan kerusi adalah tindakan menculik kerusi Parlimen Muar dengan menjadikannya sebagai third force serta satu pengingkaran terhadap mandat rakyat di Parlimen Muar yang memilih Parti Muda sebagai electoral pact bersama Pakatan Harapan,” tegas Haziq Azfar lagi.

BACA JUGA Syed Saddiq jangan lupa dulu menang sebab disokong pengundi PH

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )