Syor caruman KWSP majikan naik kepada 20 peratus akan dibincang

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, syor supaya kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bahagian majikan dinaikkan kepada 20 peratus berbanding 13 peratus ketika ini belum dibawa kepada Jemaah Menteri.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan mengesahkan cadangan terbabit ada dikemukakan kepada kerajaan.

Walau bagaimanapun, Ahli Parlimen Tambun itu berkata, hal tersebut perlu dibincangkan terlebih dahulu.

“Itu (cadangan) ada dikemukakan, tetapi kita belum bawa kepada Jemaah Menteri, akan dibincangkan dahulu (kerana) keputusan dasar, ada impak (kepada) kerajaan dan majikan,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Sambutan Hari Pekerja 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Sebelum ini, Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) menggesa kerajaan untuk menaikkan kadar caruman KWSP bahagian majikan daripada 13 peratus kepada 20 peratus.

Presidennya, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, perkara itu merupakan antara 12 cadangan pihaknya termasuk menuntut kerajaan menangani kenaikan kos sara hidup serta mengkaji semula umur persaraan wajib 60 tahun.

BACA JUGA Kerajaan beri komitmen kaji upah penjawat awam, seru hapuskan rasuah bersama