Tabung bantu wartawan susah dilancar sempena HAWANA 2023
Tabung khas bagi membantu wartawan veteran dan bekas pengamal media yang uzur serta menghadapi kesukaran hidup akan dilancarkan sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 dari 27 hingga 29 Mei ini.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata tabung itu diperkenalkan kementeriannya melalui Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).
“Insya-Allah, menerusi inisiatif ini kita akan menjejaki rakan-rakan kita yang memerlukan bantuan dan memberikan sumbangan berupa wang tunai serta barangan keperluan sewajarnya.
“Saya amat mengalu-alukan sumbangan daripada pelbagai pihak untuk Tabung Kasih@HAWANA demi menjayakan hasrat murni membantu rakan-rakan media kita,” katanya dipetik dari Sinar Harian.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Prapelancaran HAWANA 2023 di Wisma Bernama, Kuala Lumpur semalam.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) kementerian, Mastura Ahmad Mustafa dan Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Roslan Ariffin.
Fahmi berkata, setakat ini HAWANA 2023 telah menyantuni bekas wartawan Utusan Melayu, Muhammad Basir Abu Bakar yang menghidap penyakit jantung dan wartawan veteran Mohd Sidek Salleh yang sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas menjalani pembedahan akibat kanser usus.
Mohd Sidek yang kini menjadi pengawal keselamatan pernah berkhidmat sebagai wakil Utusan Melayu di London manakala Basir pernah menjawat Setiausaha NUJ Utusan Melayu.
“Bantuan ini kita perlu teliti, bukan sekadar one off. Bagi saya sewajarnya bantuan bersifat murni atau mampan. Kita perlu mencari cara mampan untuk membantu lebih ramai rakan media kita,” katanya
Sementara itu, Fahmi berkata, HAWANA 2023 bertemakan “Media Bebas, Tunjang Demokrasi” akan berlangsung di Ipoh, Perak bakal dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.