Tajaan tonton filem ‘Anwar’ tidak guna duit kementerian – Setiausaha Politik

Setiausaha Politik kepada Menteri Pendidikan menjelaskan tajaan bagi pelajar menonton filem Anwar: The Untold Story tidak menggunakan sebarang peruntukan kewangan daripada kementerian terbabit.

Sebaliknya beliau menjelaskan ia merupakan inisiatif para penyumbang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam memastikan anak-anak di sekolah mendapat akses pendemokrasian dan pengenalan kepada figura pemimpin negara.

“Sejujurnya, sebagai Setiausaha Politik yang angkat sumpah di hadapan YAB PM, saya juga segan memaklumkan saya juga menyumbang tiket filem. Khawatir (khuatir) dilabel sebagai pembodek dan penjilat. Tetapi, yang keruh perlu dijernihkan dan yang kabur perlu dijelaskan,” jelas Atiqah Syairah Shaharuddin dalam hantaran di Facebook.

Beliau menjelaskan terhadap soalan seorang pengamal media sosial dikenali Suhana dalam Tiktok yang bertanya “Adakah duit kementerian digunakan untuk taja filem politik ini?”

Baru-baru ini tular surat berkenaan jemputan daripada Pejabat Menteri Pendidikan kepada sebuah sekolah di Putrajaya bagi pelajar-pelajar menonton filem Anwar: The Untold Story di GSC Alamanda.

Filem tersebut mula ditayang di pagawam sejak 18 Mei lalu dan laporan menyebut ia mencatat kutipan RM1 juta pada hari pertama tayangan.

Jelas Atiqah sebagai seorang anak kepada mangsa tahanan politik tanpa bicara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), beliau fikir filem biopik ini mustahak untuk diberikan pendedahan awal kepada setiap segmen generasi.

“Ketika arwah abah dipenjarakan, saya berusia 10 tahun. Dan sejak sejarah reformasi, seluruh jajaran kehidupan keluarga kami berubah. Malaysia juga kini telah sangat dewasa dengan perubahan demokrasi.

“Ini bukan cerita tentang saya. Apatah lagi tentang YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim sekeluarga semata-mata. Kisah ini adalah tentang turun naik, jatuh bangun perjuangan melawan korupsi,” ujarnya.

Katanya layar filem dan penceritaan pastinya tidak mengikut cita rasa setiap penonton bahkan jauh dari kesempurnaan.

“Tetapi saya berhak untuk mengajak orang ramai turut sama-sama menonton filem ini. Tiada paksaan. Tiada merit tambahan kepada pelajar. Tiada kenaikan gaji untuk penjawat awam yang menonton. Tiada surat sokongan yang dikemukakan kepada penyumbang.

“Pemimpin datang dan pergi. Perjuangan melawan korupsi tetap menjadi inti utama membangun Malaysia Madani,” tegasnya.

Dalam pada itu, Atiqah turut memuat naik keratan surat Allahyarham bapa beliau kepada ibunya sejurus ditahan pihak berkuasa.

“Assalamualaikum Dib, Abang tinggalkan kad visa untuk kegunaan dib. Kirimkan salam abang pada semua saudara mara dan tolong jaga anak elok-elok. Ini sebahagian daripada pengorbanan hidup.

“Minta maaf, Sayang. (Beritahu cara elok dengan abah & emak serta ayah & emak)” tulis warkah itu.

BACA JUGA: ‘Habis, mak ayah adik beradik kami bawa’, filem Anwar ‘trending’ di Twitter