Tak berbaloi wakil rakyat BN letak jawatan, Anwar tetap PM” – Lokman Adam

Sehingga hari ini tidak ada seorang pun Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang meletak jawatan untuk menyertai Perikatan Nasional (PN) kerana tindakan itu tidak berbaloi, kata seorang Ahli Mesyuarat Kerja Tertinggi UMNO.

Datuk Lokman Noor Adam berkata tindakan tersebut hanya merugikan Ahli Parlimen kerana dengan mengosongkan kerusi yang dimenangi tidak akan memberi perubahan pada kerajaan sedia ada.

“Katakanlah 30 Ahli Parlimen BN yang bersama tidak menyokong Kerajaan Perpaduan, (Datuk Seri) Anwar Ibrahim masih lagi kekal menjadi Perdana Menteri dengan majoriti 118 sokongan Ahli Parlimen.

“Jadi bagi saya kerajaan perpaduan akan kekal sehingga habis penggal,” jelasnya ketika tampil sebagai ahli panel dalam program bual bicara Borak Dahsyat malam tadi.

Turut menjadi ahli panel, Pengerusi Biro Pekerja PKR Datuk Abdullah Sani manakala Syed Badli Shah Syed Osman sebagai moderator.

Lokman yang juga Pengarah Komunikasi UMNO berkata agenda utama Kerajaan Madani dalam meningkat ekonomi dan kebajikan rakyat perlu digarap oleh semua pemimpin dalam gabungan tersebut agar matlamat tersebut dicapai.

“Kita mengambil alih kerajaan daripada Mahathir, Muhyiddin dan Ismail Sabri dengan kadar hutang sekarang RM1.5 trilion serta ia meningkat lebih dua kali ganda berbanding hutang Najib iaitu RM 686.8 bilion.

“Sebab itu, zaman Anwar Ibrahim fokus penjimatan dalam perbelanjaan kerajaan dan program bantuan kepada rakyat teramai. Usaha ini perlu disokong oleh semua parti dalam Kerajaan Perpaduan agar ekonomi negara lebih stabil,” katanya lagi.

Terdahulu terdapat ura-ura yang mengatakan bahawa 15 orang ahli parlimen dari blok kerajaan akan meletakkan jawatan untuk memaksa pilihan raya berlangsung.

Namun khabar angin tersebut dinafikan oleh ketua-ketua parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan.