Tak logik PN boleh dapat 70 peratus sokongan

Kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Mahiaddin Md Yasin bahawa parti itu akan memperoleh 70 peratus hingga 80 peratus sokongan Melayu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) dianggap tidak logik dan “sekadar mimpi” sahaja.

Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Selangor, Mohd Yahya Mat Sahri berkata, ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 yang lalu, sokongan kepada gabungan PN tidak sampai 50 peratus.

Oleh itu soalnya, dari mana angka tersebut boleh melonjak sehingga ke 80 peratus, sedangkan secara logik, gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional sepatutnya menerima sokongan terbesar dalam kalangan pengundi.

“Kalau lihat daripada PRU15 yang lepas, dia tak dapat pun sampai 50 peratus. Macam mana tiba-tiba jadi 70-80 peratus?

“Katalah kalau ada lonjakan sokongan, (persoalannya) dari sudut mana yang sekarang ini (menyebabkan) lonjakan sokongan Melayu?

“Benda yang sangat tak logiklah analisa yang dia buat tu. Cuma tak apalah, tahniahlah kalau dia merasakan itu. Kita pun tak ada masalah. Biasalah pembangkang. Dia akan buat penyokong rasa bahawa dia di hadapan. Mimpi kan tak perlu dibayar,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.

Mahiaddin pada semalam berkata, PN mampu meraih sekurang-kurangnya 70 peratus pengundi Melayu pada PRN di enam negeri kelak.

Presiden Bersatu itu berkata, ia berdasarkan tinjauan dan data yang dikumpulkan sebelum ini, kebanyakan rakyat menunjukkan minat kepada PN.

“Saya yakin, walaupun tidak 100 peratus, tapi 70 hingga 80 peratus sokongan rakyat terutama orang Melayu sangat baik. Daripada kajian, kita dapatkan pandangan mereka, seperti di Selangor nampaknya kita agak ke hadapan,” katanya.

PN tidak akan menang walau satu kerusi

Mengulas lanjut, Mohd Yahya berkata, PN tidak akan menang walau satu kerusi di Selangor kerana jika dikumpul dengan sokongan yang diperoleh daripada parti dalam Kerajaan Perpaduan, kerajaan boleh menerima sokongan 2/3 daripada keseluruhan undi.

Menurutnya, prestasi Pakatan Harapan selama tiga penggal mentadbir Selangor juga memberi kepercayaan kepada rakyat untuk terus menyokong kerajaan negeri.

“Pada kita, di peringkat Harapan khususnya di Selangor, kita cukup yakin prestasi yang kita tonjolkan selama tiga penggal ini. kita cukup yakin bahawa sokongan daripada rakyat sama ada Melayu, Cina, India cukup tinggi.

“Dari sudut matematik dan analisa daripada data, menunjukkan bahawa PH punya undi campur BN punya undi, menjadikan PN tak akan menang satu kerusi pun.

“Melainkan jika mereka mainkan isu agama dan kaum, kemudian ada pengundi “terbeli” dengan permainan mereka. Jadi jika dilihat dari sudut itu, mungkin setakat 5 kerusi sahaja mereka boleh menang,” ujarnya.

Baca juga: ‘Mahiaddin jangan lupa, kamu pernah kempen sokong DAP 100 peratus’