Tak perlu ‘judge’ filem Anwar, nilai mesej perjuangan – Hans Isaac

Pengarah dan pelakon Datuk Hans Isaac berkata orang ramai tidak perlu menghakimi filem Anwar, The Untold Story sebaliknya menghayati mesej yang diperjuangkan oleh tokoh reformasi negara Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau kagum dengan semangat juang ditonjolkan watak Anwar dalam filem tersebut sekali gus akuinya ia mampu menarik minat anak muda untuk mengetahui derita apa yang dialami Anwar tetapi tidak diceritakan kepada umum.

“Anda tak perlu ‘judge’ filem ini, tapi nilai cerita dan mesej yang ada dalam filem itu dan perjuangan beliau.

“Anda perlu faham, dari apa yang dialami oleh beliau 25 tahun dahulu dan hari ini menjadi PM kesepuluh Malaysia, ia tak mudah,” katanya kepada Harapan Daily.

Perjalanan penuh liku Anwar sepanjang perjuangannya sebelum menjadi Perdana Menteri berjaya difilemkan dalam karya Anwar ‘The Untold Story’ yang ditayang secara pra-tonton kelmarin.

Hans berkata filem biopik Anwar merupakan sebuah filem yang genrenya amat berbeza berbanding naskah lain yang menembusi pawagam Malaysia selama ini.

“Filem Anwar berbeza daripada filem yang selalu ada di pawagam kita. Sebab ini (kisah) biografi seorang ahli politik yang dah lama di negara kita dan hidup beliau tak sama seperti orang biasa (melihat) apa yang beliau alami.

“Dan kepada rakyat Malaysia yang lebih muda, yang tak tahu perjuangan beliau sebelum menjadi Perdana Menteri, mungkin mereka boleh nilai dalam filem ini,” ujarnya yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR.

Hans berkata walaupun ada kritikan yang membandingkan karya tersebut dengan hasil tangan pengarah filem tempatan lain, apa yang utama adalah mesej yang cuba disampaikan.

Beliau turut berpendapat filem tersebut sebagai medan terbaik untuk anak muda mendalami kepayahan seorang Perdana Menteri sebelum diangkat mengetuai negara.

“Yang tak kenal beliau sejak awal, datang. Bagaimana dengan perjuangan itu boleh sampai jadi Perdana Menteri, ia bukan mudah nak jadi PM Malaysia. Banyak halangan,” katanya.

Untuk rekod, filem arahan sutradara Indonesia itu membabitkan penglibatan kartunis Malaysia iaitu Zukiflee Anwar Haque atau Zunar yang bertindak sebagai penerbit eksekutif.

Filem arahan Viva Westi dibintangi pelakon sensasi Farid Kamil Zahari yang memegang watak sebagai Anwar manakala aktres terkenal Indonesia, Acha Septriasa membawa watak Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Selain Malaysia sebagai lokasi utama, filem yang menelan kos RM10 juta menjalani penggambaran di Indonesia.

Berlatarkan tempoh antara 1993 dan 1998, filem biopik itu juga merungkai perjalanan hidup Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Filem Anwar, The Untold Story akan ditayangkan di pawagam di seluruh negara mulai 18 Mei ini.

BACA JUGA: Filem ‘Anwar: The Untold Story’ suntik semangat reformasi