Tanah Rizab Melayu tidak berkurangan kecuali di Kedah

Setiap negeri di Semenanjung Malaysia mencatat peningkatan Tanah Rizab Melayu kecuali di negeri Kedah, yang menurun daripada 721,888.93 hektar kepada 716,537.28 hektar, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad

Selain itu, Kuala Lumpur juga menunjukkan sedikit penurunan daripada 1,003.56 hektar kepada 999.48 hektar, manakala Perak pula, daripada 953,042.67 hektar kepada 953,040.87 hektar.

Ini membuktikan Tanah Rizab Melayu di kebanyakan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia sama sekali tidak berkurangan, sekaligus menolak andaian pembangkang bahawa Tanah Rizab Melayu sedang digugat.

“Saya tak tahu sama ada Maran dengar atau tidak jawapan yang telah diberikan. Tanah Rizab Melayu tidak berkurangan. Kalau berkurangan, berlaku di negeri Kedah. Negeri Kedah boleh tanya kepada kerajaan negeri.

“Di Kuala Lumpur ada berkurangan sedikit, di Perak pun ada berkurangan sedikit.

“Daripada peringkat awal, Maran meletakkan andaian bahawa tanah rizab semakin berkurangan sedangkan jawapan dia jelas, jumlah tanah rizab Melayu tidak berkurangan,” katanya ketika sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ismail Abd Muttalib (PN-Maran) yang menyatakan akhir-akhir ini keistimewaan hak Melayu semakin berani dicabar dan digugat. Beliau ingin tahu berapa banyak kerugian dialami Melayu akibat kelewatan langkah-langkah tindakan bagi mengganti balik Tanah Rizab Melayu.

Sementara itu menjawab soalan adakah kerajaan bercadang membentang kertas putih, Nik Nazmi menegaskan bahawa tiada keperluan berbuat demikian.

“Jadi sebab itu bagi saya, tidak ada kerugian dari sudut itu (tanah rizab) dan pendekatan yang diambil di peringkat kerajaan negeri pun ada dua.

“Sama ada ganti tanah sama luas atau kadang-kadang lihat daripada nilai strategik sebab mungkin keluasan dia berbeza tapi nilai dia sama. Itu pun diambil kira dalam sudut penggantian Tanah Rizab Melayu. Jadi tak perlu ada kertas putih tentang soal ini,” katanya.

Pada masa ini, keluasan kawasan pewartaan Tanah Rizab Melayu sehingga 31 Disember 2022 adalah 4,996,406.42 hektar. Ia menunjukkan peningkatan sebanyak 0.67% berbanding 4,963,190.80 hektar pada tahun 2021.

Kementerian merekodkan data keluasan ini berdasarkan kepada kutipan data daripada pihak berkuasa negeri di Semenanjung Malaysia.

“Secara keseluruhannya, semua negeri mencatatkan peningkatan Tanah Rizab Melayu,” kata Nik Nazmi.

BACA JUGA: Malaysia negara neutral karbon menjelang 2050?