Tang Ah Chai duta perpaduan

Sewaktu berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan pada 4 April lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyebut suatu perkara yang mungkin selama ini kita pandang ringan tetapi sebenarnya amat penting dalam konteks kehidupan masyarakat majmuk di Malaysia.

Walaupun kata-kata beliau ditujukan secara khusus kepada orang Melayu-Islam, saya percaya nasihat itu terpakai kepada seluruh rakyat Malaysia dalam situasi yang berbeza.

Datuk Seri Anwar mengingatkan kelompok majoriti supaya tidak sesekali berasa “terlalu selesa dan angkuh” hingga sampai ke tahap beranggapan budaya, tradisi dan amalan kelompok minoriti tidak boleh diraikan atau diberi kedudukan yang sepatutnya.

Secara kebetulan, sejurus selepas membaca berita itu, saya bertemu seorang rakan yang berada dalam kelompok “majoriti” tetapi amat berminat mendalami adat dan budaya kelompok “minoriti”.

Tang Ah Chai lahir pada 8 Februari 1961 serta mendapat pendidikan rendah, menengah dan pengajian tinggi dalam bahasa Cina (Mandarin). Malah, pekerjaan beliau juga berlatarkan orang Cina dan isu-isu berkaitan komuniti itu.

Beliau menjadi penulis dan penyunting beberapa buku bahasa Mandarin, termasuk tiga buah buku berkaitan Yap Ah Loy yang terbit pada tahun 2006, 2009 dan 2016.

Maka, saya teruja untuk mengetahui bagaimana beliau yang sudah hidup selesa dalam kelompok majoriti (Cina) boleh pula berminat mendalami budaya kelompok minoriti (India).

Malah, Ah Chai kemudian berkongsi pula pengetahuan tentang budaya kaum India dan agama Hindu dengan komuniti Cina.

Saya menggunakan peluang pertemuan kami minum petang pada 4 April lalu untuk mengetahui secara lebih mendalam bagaimana keadaan yang agak unik ini berlaku.

“Saya lahir di Slim River, Perak. Ibu saya seorang yang buta huruf dan menjadi penoreh getah, manakala bapa saya buruh di Estet Bukit Basut. Keluarga saya keturunan Teochew dan ibu bapa saya berhijrah ke Malaya selepas berkahwin di negara China,” ketua pegawai eksekutif Action Jijin Berhad yang beribu pejabat di Segambut, Kuala Lumpur itu menceritakan.

Keluarga beliau kemudian berpindah ke sebuah estet di Ulu Tiram, Johor. Pada waktu itulah Ah Chai mula menguasai bahasa Tamil sehingga menjadi agak lancar dan fasih.

“Saya bergaul dengan rakan-rakan Melayu, Cina dan India tanpa sebarang prejudis di kawasan ladang getah yang kemudian berubah pula kepada ladang kelapa sawit. Ibu saya turut menguasai Bahasa Malaysia dan Tamil, serta dialek Hakka dan Hokkien,” beliau menceritakan kisah silam penuh nostalgia.

Sejak kecil, Ah Chai meminati sejarah, bahasa dan budaya Cina. Sebab itulah walaupun adik-beradiknya belajar di sekolah kebangsaan, beliau berkeras mahu ke sekolah aliran Cina.

Pada Jun 1985, Ah Chai tamat pengajian sarjana muda di Jabatan Sejarah, National Taiwan University (NTU). Sebaik pulang ke tanah air, beliau ditawarkan kerja di ibu pejabat Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina (Jiao Zong) dan kemudian di Gabungan Persatuan Pengurus-pengurus Sekolah Cina (Dong Zong).

Tang Ah Chai (berbaju putih di tengah) bersama komuniti masyarakat Cina dalam siri lawatan ke kuil Hindu

 

Walaupun berpenampilan amat merendah diri, Ah Chai ternyata bukan calang-calang orang. Beliau pernah menjadi timbalan pengarah di Pusat Pengajian Cina Malaysia (1987-1997), Ahli Jawatankuasa Editorial Buku Teks Sejarah Bagi Sekolah Cina Persendirian (1986-2002), ketua pegawai eksekutif Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (2005-2017) dan pelbagai jawatan lain yang membuktikan peranan dan sumbangan beliau kepada komuniti Cina di Malaysia.

Jadi, bagaimana pula beliau mula mendekati, mendalami dan seterusnya menjadi pakar rujuk berkaitan budaya India dan agama Hindu?

“Oleh kerana ada interaksi dengan kaum India sejak kanak-kanak, saya memang tahu hal-hal budaya India dan agama Hindu. Di tempat kerja pula, rakan-rakan kaum Cina sering bertanya kepada saya jika ada sebarang kemusykilan tentang budaya India dan agama Hindu,” Ah Chai menceritakan.

Dalam komuniti Cina juga ada konsep dewa-dewi. Malah, wujud interaksi budaya yang amat panjang antara Tamadun China dan Tamadun India sejak zaman dahulu. Ah Chai pula menjadi tempat rujukan rakan-rakan kerana beliau ada ilmu dalam kedua-dua bidang budaya berkenaan.

“Saya mula membawa kawan-kawan Cina yang berminat untuk berkunjung ke kuil Hindu untuk melihat secara lebih dekat keunikan bangunan, ukiran, berhala dewa-dewi dan upacara di sana. Sambutan amat menggalakkan dan saya mula semakin kerap menganjurkan lawatan seumpama itu,” katanya.

Saya sendiri pernah menyampaikan kuliah selama dua hari mengenai sejarah dan budaya kaum India dalam program anjuran Akademi Tan Kah Kee pada September 2019. Sambutan daripada komuniti Cina memang amat menggalakkan. Maka, saya sedar dan akui hakikat kaum Cina amat berminat menimba ilmu pelbagai bidang.

“Saya ada kelebihan kerana mampu memberi penerangan dan menjawab segala pertanyaan peserta lawatan ke kuil menggunakan bahasa Mandarin. Jadi, mereka rasa lebih selesa, lebih aktif bertanya soalan dan lebih senang memahami penerangan yang diberi,” akui Ah Chai yang selalu juga berbual dengan saya tentang topik-topik berkaitan budaya India dan agama Hindu.

Beliau yang sentiasa berwajah ceria turut banyak melakukan lawatan secara bersendirian ke pelbagai kuil untuk mendalami ilmu. Ah Chai tidak segan untuk bertanya kepada sami-sami di kuil untuk mendapatkan penerangan. Mereka pula amat gembira dan sedia menjawab sebarang pertanyaan.

Sesi ceramah dan lawatan berkumpulan yang dianjurkan oleh Ah Chai mendapat sambutan amat menggalakkan daripada komuniti Cina dari seluruh negara. Beliau juga menulis tentang budaya India dan agama Hindu secara bulanan di sebuah akhbar Cina tempatan.

Semasa dunia berdepan ancaman Covid-19, beliau mengadakan siri ceramah tentang budaya India dan agama Hindu secara dalam talian. Setiap sesi disertai lebih 200 orang Cina dari Malaysia, Singapura, Taiwan, Hong Kong, China dan sebagainya.

Malah, Ah Chai dilantik menjadi penceramah dan pemandu pelancong dalam projek khas dua bulan sekali anjuran Penang Harmony Corporation (Harmonico) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Bukan Islam, Pulau Pinang.

“Sekitar 30 peserta mengikuti ceramah dan penerangan tentang sejarah dan budaya kaum India dan agama Hindu dalam bahasa Mandarin pada hari Sabtu. Pada hari Ahad pula, saya membawa mereka melawat beberapa kuil Hindu supaya peserta mendapat pengalaman dan maklumat lebih mendalam,” ujar Ah Chai.

Beliau ternyata tidak kedekut untuk berkongsi ilmu dan pengalaman demi membantu melahirkan Bangsa Malaysia yang saling memahami dan menghargai perpaduan.

Saya melihat Ah Chai sebagai duta perpaduan, khasnya antara kaum Cina dan India di Malaysia. Beliau menjadi jambatan yang membantu komuniti Cina (majoriti) tidak berasa “terlalu selesa dan angkuh” tetapi sebaliknya mampu “mendalami dan meraikan” budaya komuniti India (minoriti).

———-

Uthaya Sankar SB seorang penulis, pengkaji sepenuh masa dan pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang gemar berkongsi ilmu dengan pembaca.

 

BACA JUGA: Kathakali bantu fahami komuniti Malayali