Tayar Rahmah RM5 pun ada, usaha kerajaan bantu rakyat B40 terus jadi ikutan

Iltizam Kerajaan Perpaduan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat berpendapatan rendah menerusi ‘harga rahmah’ dilihat terus menjadi ikutan peniaga dan pengusaha.

Bukan sahaja menu makanan, kini bengkel motosikal di Kajang, Selangor juga menawarkan tayar kenderaan itu pada harga Rahmah RM5.

Di Bengkel Dania Garage, orang ramai dilihat sanggup berbaris panjang bukan untuk membeli martabak atau cendol sebaliknya tayar.

Inisiatif yang dilancarkan pada 20 Mac lalu oleh bengkel motosikal milik Bumiputera yang berpusat di Sungai Chua, Kajang itu dinamakan Program Amal Tayar Rahmah.

Pemilik bengkel, Mohd Mustakim Mohd Munawir, berkata pihaknya memperuntukkan 1,000 unit tayar untuk dibeli oleh pemilik motosikal pada harga RM5 seunit berbanding harga sebenar iaitu RM60 seunit.

Memetik Bernama, usaha tersebut bagi memberi sumbangan dan meringankan beban pemilik motosikal serta sebagai penghargaan kepada pelanggan bengkelnya.

Bengkel Dania Garage sohor di media sosial khususnya TikTok dengan pengikut lebih setengah juta orang.

Mula beroperasi pada 2016, bengkel itu sekarang memiliki tiga cawangan iaitu dua di Kajang dan satu di Serdang.

BACA JUGA Makanan ringkas tapi berkhasiat: Orang ramai puji Menu Rahmah