Terap konsep pembangunan madani, kukuh kerjasama Malaysia-Brunei – PM

Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru agar diaspora Malaysia yang berada di Brunei dapat menerapkan konsep pembangunan madani untuk kebaikan kedua-dua negara.

Perdana Menteri berkata mereka memainkan peranan besar dalam mengukuhkan hubungan dan kerjasama antara Malaysia dan Brunei.

“Saya dan Azizah (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) bersyukur dapat bertemu mereka yang rata-ratanya berkecimpung dalam sektor perniagaan, perkhidmatan awam dan swasta serta pendidikan.

“Mereka ini juga saya sifatkan memainkan peranan yang besar dalam menyumbang kepada pengukuhan hubungan dan kerjasama antara Malaysia-Brunei Darussalam.

“Saya turut menyeru agar mereka menerapkan konsep Malaysia MADANI yang diluncurkan minggu lalu untuk kebaikan bersama kedua-dua negara,” katanya dalam kenyataan di Brunei malam tadi.

Beliau berkata demikian selepas sesi dialog dan makan malam bersama rakyat Malaysia di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Bandar Seri Begawan.

Hadir sama Menteri Luar Datuk Seri Dr Mohd Zambry Abdul Kadir, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Haji Noor.

Anwar dalam rangka lawatan kerja selama dua hari ke Brunei mulai semalam.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan sesi dialog dalam Majlis Makan Malam bersama Diaspora Malaysia di Suruhanjaya Tinggi Malaysia ke Brunei di Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam pada 24 Januari 2023. Foto SADIQ ASYRAF/Pejabat Perdana Menteri