
Terima kasih Dr Zaliha, selesaikan masalah kesesakan di hospital
Tidak sebagaimana biasa, rutin checkup isteri di Institut Kanser Negara (IKN) sangat cepat selesai hari ini.
Biasanya tengahari baru selesai tetapi hari ini jam 9.15 pagi sudah selesai.
Kami daftar jam 8.10 pagi untuk temujanji jam 8.30 pagi, 9.15 pagi sudah selesai pertemuan dengan doktor.
“Eh cepatnya siap bang. Biasanya jumpa doktor pun belum lagi ni,” kata isteri kapada saya selepas kami selesai bertemu doktor.
Alhamdulillah, doktor kata tidak ada apa-apa yang perlu dirisaukan dan enam bulan lagi temujanji berikutnya.
Isteri telah menjadi tetamu tetap IKN sejak dua tahun lalu.
Selepas menjalani semua rawatan, alhamdulillah semua selesai dan kini tinggal membuat rutin checkup sahaja pada setiap enam bulan.
Enam bulan lalu, Mac 2023, ketika kami datang untuk checkup, jam 12 baru selesai bertemu doktor.
Semuanya kerana tempoh menunggu yang lama dan memboringkan kerana terlalu ramai pesakit yang menunggu untuk mendapatkan rawatan.
Saya tertanya-tanya apa yang berlaku kepada tempoh menunggu ini.
“Kami memang sudah ubah tempoh menunggu encik, tak macam dulu lagi,” kata seorang jururawat yang bertugas apabila saya tanyakan hal ini kepada beliau.
Saya teringat inilah antara janji Menteri Kesihatan Dr Zaliha ketika beliau mula-mula memegang jawatannya.
Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mengenal pasti klinik kesihatan di seluruh negara, untuk diarahkan beroperasi secara lebih masa dalam usaha mengelak kesesakan hospital.
Dr Zaliha mengarahkan Pengarah Kesihatan Negeri meneliti semula keperluan klinik kesihatan di bawah seliaan masing-masing, untuk beroperasi lebih masa.
Kini saya dan isteri antara pihak yang merasai nikmat dari usaha kerajaan ini, kurangkan waktu menunggu dan kesesakan di hospital.
Terima kasih Dr Zaliha…