Tiada krisis minyak masak, bekalan mencukupi di pasaran – Salahuddin
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menegaskan bahawa tiada sebarang krisis bekalan minyak masak berlaku di pasaran.
Menterinya Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata pihak kementerian akan memastikan bekalan bahan makanan itu sentiasa mencukupi untuk kegunaan orang ramai.
“Saya perhatikan isu bekalan minyak dengan teliti dan saya tegaskan, kita tiada krisis bekalan,” katanya dalam sidang media selepas menyertai Ops Menu 3.0 di sekitar Bandar Baru Bangi, Kajang pada Jumaat.
Salahuddin berkata meskipun pihaknya ada menerima laporan berkaitan bekalan bahan makanan itu di beberapa kawasan, kementerian bertindak segera untuk menyelesaikannya.
“Pihak KPDN mengakui terdapat aduan di tempat dan waktu tertentu yang mana bekalan minyak tidak mencukupi.
“Bagaimanapun, setiap aduan yang diterima, pihak kami akan serta-merta melakukan tindakan bagi menyelesaikan masalah terbabit,” ujarnya.
Dalam hal berkaitan, Salahuddin menegaskan pihaknya, sentiasa memantau harga barang terutamanya makanan bermasak secara berterusan bagi mengurangkan beban rakyat.
Namun katanya pihak kementerian tidak mahu mengambil pendekatan mengenai tindakan undang-undang terhadap para peniaga sebaliknya menggalakkan perbincangan dengan peniaga.
“KPDN tidak mahu mengambil pendekatan saman dan hukuman kepada pengusaha restoran.
“Peranan kementerian ialah membuat perbincangan bersama pemilik makanan untuk mencari solusi yang menguntungkan pengguna dan pengusaha restoran,” ujar beliau.
Untuk rekod, KPDN telah membuat 614 pemeriksaan di seluruh negara dan sebanyak sembilan tindakan kes ke atas peniaga yang melanggar Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 sejak Ops Menu 3.0 dilancarkan pada 23 Januari hingga Khamis lepas.