Tiada lagi cubaan sabotaj, sokongan kepada Kerajaan Perpaduan “lebih kemas”

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sokongan kepada Kerajaan Perpaduan sejak beberapa bulan ini tampak “lebih kemas” berbanding pada awal pentadbirannya dengan pelbagai cubaan menjatuhkan kerajaan.

Beliau berkata, sekurang-kurangnya untuk tahun-tahun mendatang, tiada lagi cubaan untuk mensabotaj kerajaan susulan semangat dalam Konvensyen Kerajaan Perpaduan yang diadakan semalam.

“Apabila kita lihat Konvensyen Kerajaan Perpaduan semalam, satu bentuk kerajaan yang kukuh telah ditetapkan berbanding peringkat awal masa saya ambil.

“Macam-macam percubaan SD (akuan bersumpah) dan sebagainya, (hingga) sampai ke (pengetahuan) Yang di-Pertuan Agong dan Sultan-Sultan.

“Tapi beberapa bulan yang lalu ini nampaknya lebih kemas. Dia tidak menghentikan percubaan (rampas kerajaan) dan tak ada salah dalam sistem politik demokrasi. Sesiapa pun boleh rebut kuasa (tapi perlu) ikut jalur yang sah.

“Sebulan lebih lalu, ketua-ketua parti baik PH, BN, GPS, GRS bagi komitmen sangat jelas. Bila kita adakan perhimpunan, jelas bahawa sekurang-kurangnya untuk tahun-tahun akan datang ini tiada lagi cubaan untuk sabotaj kerajaan yang ada,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian dalam Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) 2023 pagi ini.

Tambah Ahli Parlimen Tambun itu, pertumbuhan ekonomi negara mungkin akan mantap jika kerajaan sedia ada terus stabil untuk jangka masa panjang iaitu sehingga pilihan raya umum akan datang.

Mengulas berkenaan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara yang berkembang pada kadar 5.6 peratus pada suku pertama tahun 2023, Anwar meluahkan rasa bangga terhadap pencapaian itu.

Katanya, angka tersebut telah melangkaui ramalan bahawa ekonomi Malaysia diunjur berkembang antara 4.0 peratus hingga 5.0 peratus pada tahun ini.

“Inflasi kurang, jumlah pengangguran kurang, pelaburan bertambah tapi pelaksanaan pelaburan itu penting untuk sampai segera.

“Di peringkat Persekutuan, negeri, dan perbandaran harus bekerja bersama-sama supaya tahap kelulusan itu dapat dipercepatkan.

“Ini akan memastikan kita dapat mempertahankan fasa pertumbuhan yang meyakinkan. Ini terserah komitmen dan kesungguhan kita,” tegas beliau lagi.