“Tiada meja VVIP, makan apa yang mereka makan”

Tidak ada meja VVIP, makan apa yang dimakan oleh oleh orang ramai dan bersama mereka.

Itulah pesan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat KPWKM, Aiman Athirah Sabu sebelum membuat lawatan ke mana-mana agensi di bawah kementerian beliau.

Beliau berharap, soal protokol jangan terlalu diberatkan sehingga ia membebankan pihak yang menerima lawatan beliau.

“Salah satu perkara yang saya terapkan di dalam lawatan kerja saya adalah less protocol, tidak perlu menyediakan meja VVIP kepada saya dan rombongan.

“Saya lebih selesa dan gembira jika dapat makan bersama semua termasuk anak-anak institusi, dan dengan jenis jamuan yang juga sama. Tiada beza,” kata Aiman.

Bagi beliau, kakitangan jabatan yang menerima lawatan beliau juga tidak perlu beratur menunggu atau berdiri lama semata-mata menanti ketibaan beliau.

“Kita semua sama, yang membezakan kita taqwa – beramanah atas tanggungjawab yang dipikul dan akan ditanya Allah,” kata Ketua Wanita Pakatan Harapan dan juga Ketua Angkatan Wanita AMANAH itu.

Semalam Aiman turun ke Melaka bagi menziarahi enam intitusi yang terletak di bawah kementerian beliau.

Antaranya Sekolah Tunas Bakti, Lereh, Melaka, sebuah sekolah pemulihan bagi kanak-kanak yang terlibat dalam konflik keluarga dan jenayah sebelum ini.

Dalam lawatan itu, Aiman dilihat makan bersama dengan kanak-kanak yang sedang dipulihkan dipusat itu selepas pelbagai masalah yang mereka hadapi sebelum ini.

 

BACA JUGA ‘Kunjungan muhibbah’ timbalan menteri beri impak besar sistem penyampaian