
Tiada paksaan sekolah anjurkan Minggu Solidariti Palestin
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tiada paksaan kepada pihak sekolah untuk menganjurkan Minggu Solidariti Palestin, meskipun ia digalakkan.
“Tadi kita sudah bincang dalam Kabinet… kita galakkan (ia dianjurkan tetapi), tidak paksa semua sekolah (menganjurkannya).
“Cuma sekolah kena kawal agar tidak menimbulkan masalah,” katanya selepas solat Jumaat di Masjid As-Shariff di Kampung Dato Ahmad Razali, di Dengkil, hari ini.
Walau bagaimanapun, beliau mengingatkan supaya penganjuran Minggu Solidariti Palestin di sekolah dikawal supaya tidak menimbulkan sebarang masalah.
Oleh sebab itu, ujarnya, kerajaan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak pentadbiran sekolah untuk membuat pertimbangan sewajarnya berhubung program dianjurkan Kementerian Pendidikan (KPM) itu.
Sebelum ini, tular gambar kanak-kanak memegang senjata mainan didakwa berkaitan dengan Minggu Solidariti Palestin yang dianjurkan di sekolah.
Ekoran itu, badan bukan kerajaan (NGO) Global Human Rights Federation (GHRF) mengecam tindakan tersebut dan menyifatkannya sebagai ‘mengejutkan dan menakutkan’.
Sehubungan itu, beberapa NGO membantah arahan supaya sekolah mengadakan Minggu Solidariti Palestin pada 29 Oktober hingga 3 November ini.
Selain itu, kerajaan juga digesa memastikan institusi pendidikan tidak dibabitkan dengan isu konflik antarabangsa, perang dan pertikaian agama.