Tiap minggu mengigau PM baharu, ada SD sila bawa ke Parlimen – Anwar
Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar parti pembangkang untuk membuktikan mereka mempunyai calon Perdana Menteri yang baharu seperti yang didakwa dengan mengemukakan surat akuan bersumpah (SD) dalam sidang Parlimen akan datang.
Perdana Menteri berkata, beliau yakin Kerajaan Perpaduan yang diterajuinya itu akan kekal sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Tak apalah kalau dia ada, masa Parlimen bawalah SD. Usul di Parlimen, tidak ada masalah.
“Ini tiap-tiap minggu dia jadi mengigau mingguan. Sebelum puasa, sebelum raya, sebelum selepas Raya Haji, sebelum Thaipusam, Tahun Baharu Cina… tunggulah.
“Tapi Insya-Allah kita Kerajaan Perpaduan kekal penuh sehingga pilihan raya akan datang. Saya sangat yakin,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan Ibu Pejabat Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) di Kuala Lumpur hari ini.
Anwar mengulas mengenai dakwaan Perikatan Nasional (PN) yang kononnya memiliki SD yang memberi sokongan majoriti kepada Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk menjadi Perdana Menteri baharu.
Semalam, tular pula satu kenyataan media palsu kononnya mendakwa Pas menzahirkan sokongan terhadap Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menjadi Perdana Menteri.
Kenyataan berkenaan disahkan palsu oleh Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Sebelum ini Perdana Menteri mengakui wujud gerakan untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan yang diterajuinya namun ia tidak berasas.
BACA JUGA: Malaysia tetap buru Jho Low, usaha ekstradisi melalui rundingan diplomatik – PM