Tidak salah lantik ahli keluarga jika berkelayakan, ada kepakaran – Mufti

Mufti Pulau Pinang berpendapat keputusan Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik anaknya Nurul Izzah sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri bukan suatu perkara yang salah.

Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata seorang pemimpin atau ketua kerajaan boleh melantik anggota keluarga sekiranya berkelayakan, mempunyai integriti serta mempunyai kepakaran.

Dengan kepakaran yang ada, Nurul Izzah dilihat dapat memudahkan urusan negara yang akan dilaksanakan, katanya.

“Bagi saya tidak salah seorang pemimpin atau ketua kerajaan melantik anggota keluarganya sebagai pembantu atau penasihatnya dalam hal-hal kewangan, ekonomi dan sebagainya.

“Asalkan individu yang dilantik itu mempunyai kelayakan dan kepakaran yang dikehendaki di samping ada integriti diri, malah ini boleh memudahkan lagi urusan yang mahu dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan, lapor Sinar Harian pada Rabu.

Wan Salim berkata sebagai seorang agamawan, beliau cenderung melihat isu pelantikan tersebut daripada perspektif Islam.

“Dalam menilai sesuatu tindakan atau amalan, sebahagian kita terkeliru antara matlamat dan cara untuk mencapai matlamat. Banyak masa dihabiskan untuk berpolemik tentang cara untuk mencapai sesuatu matlamat, sedangkan matlamat itu sendiri dipinggirkan malah mungkin diabaikan sama sekali,” katanya.

Nurul Izzah berucap dalam Konvokesyen SG Akademi, Kuala Lumpur pada 16 Januari 2023. Foto FB Nurul Izzah

Wan Salim berkata rakyat sepatutnya berbangga dengan individu yang sanggup berkhidmat untuk negara dan rakyat dengan sukarela tanpa menuntut sebarang ganjaran.

“Kadang-kadang saya pelik apabila mendapati sebahagian masyarakat memprotes seseorang yang berkhidmat untuk negara secara percuma. Mereka sebaliknya boleh menerima seorang lain yang memperoleh habuan tanpa menyumbang sebarang perkhidmatan.

“Bagi saya, sikap sedemikian menunjukkan kepada kehilangan pertimbangan akal yang waras. Keadaan ini boleh disamakan dengan kisah umat Nabi Luth AS yang mengusir golongan beriman dari kampung halaman mereka dengan alasan golongan tersebut adalah orang-orang yang menyucikan diri daripada kejahatan,” katanya.

BACA JUGA: Nurul Izzah ‘orang kepercayaan’, paling layak jadi Penasihat Ekonomi, Kewangan PM