Tidak salahkah terima rasuah untuk parti?

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Mahiaddin Md Yassin mendakwa dia tidak bersalah kerana kontraktor yang terima kontrak Jana Wibawa memasukkan dana politik ke akaun partinya dan bukan akaun peribadi beliau.

Pemimpin-pemimpin Bersatu lain pula memuji Mahiaddin kononnya berpegang kepada prinsip kerana tidak terima dana dan masuk ke akaun peribadi.

Betulkah pemimpin parti politik bebas menyalahgunakan kuasa sebagai pemimpin kerajaan dengan syarat duit tidak masuk ke akaun peribadi?

Maka dengan itu, mereka boleh tawarkan projek runding terus sehingga RM92.5 billion sewenang-wenangnya dan meminta suapan 5% dari jumlah kontrak dengan syarat wang itu dimasukkan ke akaun parti.

Mereka pula dijulang sebagai hero dan pemimpin bermoral. Lawak apakah ini? Inikah yang pemimpin politik nak ajar kepada rakyat, pegawai kerajaan dan anak cucu kita?

Apa jadi kepada negara kita jika pegawai kerajaan berlumba-lumba menerima rasuah dan salah guna kuasa dengan cara yang sama?

Boleh jadi dengan strategi licik ini, pemimpin Perikatan Nasional rasa selamat dari disabitkan bersalah tetapi bukankah itu secara moral dan hukum Islam tetap dikira rasuah dan salah guna kuasa?

HUTANG NEGARA BERTAMBAH, PARTI POLITIK KAYA

Mahiaddin diiringi oleh penyokong beliau termasuk pemimpin Pas ke pejabat SPRM. Tidak rasa bersalahkah mereka menjulang dan membela orang yang merompak wang negara atau mereka juga dapat manafaatnya.

Pemimpin PN membatalkan cukai kumpulan syarikat Al-Bukhari dan sebagai balasannya menerima dana politik RM200 juta dari anak syarikat konglomerat berkenaan iaitu Bukhari Equity.

Negara hilang wang dan perlu terus berhutang sehingga RM1.5 Trillion tetapi parti politik bertambah kaya bahkan nilai kontrak ditambah agar 5% komisyen dapat disediakan untuk Bersatu.

Sumber SPRM menjelaskan kepada media, menerima dana politik oleh parti pembangkang tidak sama dengan parti kerajaan.

Parti pembangkang tidak berada di kedudukan boleh menghulurkan apa-apa kepada syarikat.

Parti pemerintah mempunyai kuasa untuk meluluskan projek dan apabila syarikat itu mendapat projek, mereka diminta memberikan peratusan tertentu sebagai dana parti. Ini tentulah berbeza.

Seksyen 23 Akta SPRM mengatakan bahawa, apabila seseorang pegawai badan awam menyalahgunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan sama ada untuk faedahnya, atau untuk faedah keluarganya, atau untuk rakan sekutunya, dia telah melakukan kesalahan.

Mahiaddin didakwa dengan empat kesalahan rasuah berjumlah RM232.5 juta, dua kesalahan menerima wang hasil aktiviti haram sebanyak RM195 juta dan satu dakwaan pengubahan wang haram berjumlah RM5 juta.

Jumlah keseluruhan setakat ini RM432.5 juta.

PAS TELAH SESAT

Dalil apakah pula Pas gunakan untuk menghalalkannya?

Selepas Ustaz Fadhil Noor dan Almarhum Tok Guru Nik Aziz meninggal dunia, Pas kehilangan kompas moral sehingga sanggup menghalalkan rasuah seperti ini.

Mereka memperoleh jawatan dengan dana haram ini dan mengagihkan pula kepada ahli Pas dan pengundi-pengundi.

Tidak hairanlah mereka semakin jauh dari ajaran Islam walaupun berpenampilan dan bercakap sebagai ahli agama.

 

BACA JUGA Jarang orang tanpa kuasa boleh buat rasuah – Kadir Jasin

JUGA ‘Saya tak peduli, kalau kamu rasuah atau curi wang, bayar balik’ – PM Anwar