Tiga cabaran Kementerian Ekonomi dalam ekonomi Malaysia

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menggariskan tiga cabaran utama yang perlu ditangani oleh kementeriannya untuk memacu ekonomi memandangkan tahun ini juga merupakan tahun untuk pembentangan Kajian separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas dalam sesi ‘townhall’ yang dilaksanakan.

Beliau menggunakan contoh dari industri petroleum untuk menyatakan bahawa cabaran ekonomi ataudilema tersebut berbentuk tiga serangkai.

“Pertama, ialah kita perlu kukuhkan keupayaan fiskal. Bagaimana kita pastikan tuntutan semasa, pendapatan yang kita dapat cukup untuk kita labur dalam jangka masa panjang dengan berkesan kepada rakyat?

“Cabaran kedua ialah menambahkan hasil kerajaan. Ia berkaitan dengan cabaran pertama. Kita perlu mengendalikan perbelanjaan pembangunan dan melabur dalam sektor yang mempunyai kesan berlipatganda. Berapa banyak boleh dibelanjakan bergantung kepada pendapatan.”

Rafizi menyatakan ada keadaan di mana ekonomi berkembang tanpa menjana pendapatan.

Beliau berkata demikian di Majlis Amanat Menteri Ekonomi bersama warga Kementerian Ekonomi yang turut disiarkan secara langsung menerusi laman media sosial, Facebook pagi ini. Majlis ini akan diadakan secara bulanan untuk memberikan peluang kepada warga kementerian bertukar pandangan dengan Rafizi.

Menurut Rafizi, cabaran ketiga ialah penstrukturan semula ekonomi secara makro dan mikro.

“Bagaimana kita memastikan lonjakan sektor berdaya tinggi yang boleh dirasai rakyat? Kesihatan ekonomi untuk rakyat adalah soal gaji dan inflasi saja. Kalau gaji berpatutan dengan inflasi, tak timbul soal kesejahteraan.
“Tapi kalau inflasi naik tanpa gaji naik, itu masalah. Ekonomi berkembang tapi gaji tak naik,” kata Rafizi yang turut mengakui bahawa beban tugas untuk agensi pelaksanaan di bawah kementeriannya berat.

Dari sudut perancangan dasar, beliau tidak melihat sebarang kelemahan dari agensi pelaksana di bawah kementeriannya.

“Tumpuan lebih perlu untuk mengemudi supaya ada nilai tambah boleh pada ringgit.”

Bercakap kepada kakitangan kementerian, Rafizi berkata bahawa beliau tidak akan berfungsi sebagai ahli politik yang melancarkan sesuatu saja.

Beliau berpandangan bahawa kepimpinan politik juga mempunyai peranan penting untuk memastikan dasar yang dibuat diterjemahkan secara betul demi kesejahteraan rakyat.

“Kerajaan memperoleh mandat dua pertiga. Kita harap boleh buat keputusan yang sebelum ini pelaksana dasar tak dapat laksana kerana punca ekonomi di atas.”