Tiket kapal terbang: Menteri jemput Ka Siong hantar penumpang ke Tawau

Bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong dipelawa melakukan flag off kepada 185 penumpang yang akan berlepas ke Tawau, Sabah menggunakan tiket penerbangan ekonomi, 20 April ini.

Jemputan itu dibuat oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dalam sidang media khasnya, selepas Ka Siong membangkitkan isu mengenai tiket penerbangan yang mahal ke Tawau.

“Saya nak jemput dia (Ka Siong) untuk sertai saya bersama-sama hantar 185 orang Tawau, di KLIA2, Khamis ini, jam 10.15 malam dengan tiket penerbangan berharga RM249.

“Kalau dia tak percaya harga rendah boleh tanya sendiri penumpang betul ke beli tiket harga mampu milik,” katanya pada sidang media tersebut yang diadakan di kementerian di Putrajaya, hari ini.

Semalam, Ka Siong mempersoalkan harga tiket penerbangan menjelang perayaan Aidilfitri terutama dari ibu negara ke Sabah, yang disifatkannya sebagai terlalu mahal dan mengecewakan orang ramai.

Dalam isu berkenaan, Ahli Parlimen Ayer Hitam itu mendakwa, hasil semakan tiket sehala dari Kuala Lumpur ke Tawau (kelas ekonomi) untuk penerbangan 20 April ini, menjangkau sehingga RM3,138.

Susulan kontroversi yang melanda itu, Anthony melahirkan rasa kesal dengan dakwaan tersebut kerana ia boleh mengelirukan rakyat, sedangkan Ka Siong hanya membuat semakan harga menggunakan satu aplikasi.

BACA JUGA Isu tiket penerbangan mahal: Loke nafi tuduhan Ka Siong