
TikTok rujukan politik makin berpengaruh untuk pilihan raya akan datang
Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Muhamad Hisomuddin Bakar menyifatkan aplikasi TikTok adalah ‘rujukan politik’ yang semakin meluas pengaruhnya.
Berdasarkan kajian dijalankan, beliau berkata, pengguna aplikasi tersebut juga merangkumi warga emas.
“TikTok adalah rujukan politik yang semakin membesar dan sebenarnya aplikasi berkenaan juga merentasi peringkat umur.
“Kalau tengok, yang berumur 60 tahun ke atas pun masih mempunyai elemen tersebut.
“Saya yakin, selepas ini aplikasi TikTok ini akan lebih berpengaruh menjelang siri-siri pilihan raya akan datang kerana ia melibatkan segmen umur. Menurut kajian, ada dua aplikasi yang ‘besar’ iaitu Facebook dan TikTok.
“Sebanyak 43 peratus kelompok yang memang mendapatkan maklumat daripada TikTok adalah berumur 18 hingga 20 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan kajian ‘Prediksi Akhir PRN: Prestasi Pakatan Harapan (PH) Unggul, PN Kuasai Jajaran Melayu’ dalam Wacana Pasca Pilihan Raya Umum Negeri Ke-15 bertajuk ‘PRN 6 Negeri: Apa Telah Terjadi’ hari ini.
Menurut Hisomuddin lagi, ketika menjalankan temu bual dalam segmen tersebut, beliau akan meminta golongan anak muda untuk membuka aplikasi yang paling kerap digunakan dalam kehidupan seharian mereka.
“Kalau TikToknya lebih dominan, kita akan dapat baca kecenderungan politik dia ke arah mana.
“Kalau dia sebut Twitter, dia akan pergi ke satu segmen sokongan yang lain, itu kalau anak mudalah.
“Instagram (IG) dan FB ini boleh dikatakan memang tidak menjadi rujukan politik mereka. Saya tanya FB? FB tak ada bang, FB pakai untuk beli barang atau main game sahaja,” katanya lagi.
BACA JUGA Pengundi muda ada sikap tentukan sendiri pilihan politik mereka