TikTok turunkan kandungan keganasan Israel termasuk ucapan PM – Fahmi

TikTok turunkan kandungan keganasan Israel termasuk ucapan PM – Fahmi

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil hari ini mendedahkan terdapat bukti bahawa penyedia platform media sosial TikTok secara sistematik telah menurunkan kandungan berkaitan keganasan Israel dari Malaysia.

Beliau berkata perkara itu terbukti apabila ramai pengguna platform berkenaan telah mengadu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bahawa kandungan dan siaran langsung yang dimuat naik mereka telah diturunkan atau disekat.

Ini termasuk mengenai ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Himpunan Malaysia Bersama Palestin, 24 Oktober lalu.

PM Anwar semasa berpidato di hadapan hadirin yang memenuhi Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil, 24 Oktober lalu.

“Saya bagi contoh, satu kandungan itu ucapan Perdana Menteri berserta dengan beberapa gambar dari Gaza… berdasarkan maklum balas dari pihak TikTok mereka mengatakan ada gambar keganasan.

“Tetapi bila saya teliti balik kandungan itu, ia adalah seorang ayah yang mengangkat mayat anaknya yang diselimut.

“Tidak ada gambar darah, tidak ada yang orang kata macam yang menggerunkan. Bagi saya, ini tak masuk akal…

“Saya sangat-sangat marah dengan pihak TikTok dan kita telah memberi satu mesej yang kalau bagi saya mereka tak faham ini, kita kena fahamkan mereka,” tegas Ahli Parlimen Lembah Pantai itu.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Tabung Kemanusian Palestin Bagi Penjawat Awam, Peringkat Kementerian Komunikasi dan Digital di Angkasapuri Kota Media, hari ini.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata beliau mengarahkan SKMM untuk membuat satu teguran keras kepada TikTok serta Meta dan mengaturkan pertemuan mengenai isu tersebut.

“Kita tidak mahu hak bersuara kita terutama dalam isu Palestin ini dikekang oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab atas sebab-sebab tertentu,” katanya.

Fahmi berkata satu pertemuan bersama TikTok untuk menyampaikan pendirian kerajaan mengenai perkara itu telah diadakan semalam dan ia akan disusuli dengan satu lagi pertemuan yang diadakan minggu hadapan.

Setakat ini, keganasan Israel telah mengorbankan sekurang-kurangnya 6,546 rakyat Palestin manakala 17,439 lagi cedera.

Rejim pengganas pimpinan Benjamin Netanyahu itu juga akan melakukan serangan darat pada bila-bila masa selepas lebih dua minggu mengebom kawasan di Semenanjung Gaza yang padat dengan jutaan penduduk.

BACA JUGA KKD lancar Tabung Kemanusiaan Palestin

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )