Tindakan Fawwaz gimik politik

Tindakan Fawwaz gimik politik

Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia (PPKM) menyifatkan tindakan Ahli Parlimen Permatang Pauh Fawwaz Muhammad Jan baru – baru ini sebagai satu gimik politik.

“Ahli politik berkenaan berjaya mendapatkan perhatian umum dan kompleks beli belah perlu cakna perkara ini,” kata pengerusi PPKM Richard Chan, lapor laman berita The Vibes.

“Tiada apa yang dibuat secara besar-besaran. Saya rasa pameran masih berterusan. Saya rasa ia satu gimik sahaja. Saya tidak mahu komen banyak. Kita cenderung untuk melihat ini sebagai perkara yang dipolitikkan. Semua pusat membeli belah menghormati kepercayaan dan perasaan semua kaum,” kata beliau.

Fawwaz yang juga adalah Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang mengundang kontroversi apabila beliau menggesa agar promosi bir di pusat membeli belah di Seberang Jaya, Pulau Pinang tidak dibuat secara terbuka. Gesaan tersebut disiarkan dalam akaun TikTok.

Gesaan tersebut dibidas ramai pihak termasuk netizen di media sosial.

Chan menjelaskan bahawa kompleks membeli belah beroperasi mengikut musim perayaan bersesuaian dengan kepelbagaian bangsa dan agama di Malaysia.

Beliau menambah bahawa kompleks beli belah di kawasan yang mempunyai 80% penduduk Cina pun turut serta membuat promosi sempena dengan perayaan Deepavali yang disambut masyarakat yang beragama Hindu.

Sementara itu wakil Sunway Carnival Mall dilaporkan menyatakan bahawa perubahan kecil dibuat susulan dari kejadian melibatkan Fawwaz tempoh hari. Pameran tersebut bagaimanapun berterusan seperti biasa.

Fawwaz bukan berseorangan dalam membangkitkan perkara ini.

Baru – baru ini, pendakwah bebas Ridhuan Tee Abdullah turut membangkitkan sentimen perkaumannya dengan menyoal keperluan Majlis Bandaraya Pulau Pinang meluluskan penggunaan 10,000 tanglung sutera merah dalam satu majlis di Pulau Pinang yang dihadiri oleh ahli veteran DAP, Lim Kit Siang.

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )