Tindakan pantas Anwar mempertingkatkan keselamatan ketika musim tengkujuh

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak berkuasa tempatan untuk memantau dan mempertingkatkan keselamatan di tapak-tapak peranginan di negeri masing-masing.

Anwar juga memohon agar berwaspada dan mengelakkan kawasan berisiko tinggi ketika musim tengkujuh dan monsun.

Katanya, berdasarkan laporan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), sejurus mendapat maklumat kecemasan daripada orang awam pada pukul 2.23 pagi, koordinasi antara agensi telah dibuat dengan pantas.

Beliau juga berkata pasukan penyelamat telah tiba di kawasan kejadian pada pukul 2.58 pagi dan berjaya menyelamatkan mangsa pertama sejam selepas itu.

“Dewan ini ingin merakamkan ucapan takziah kepada individu dan keluarga mangsa yang terlibat dalam insiden tanah runtuh di Father’s Organic Farm, Batang Kali, Selangor Darul Ehsan pada 16 Disember lalu.

“Dewan amat terkesan dan sedih dengan kejadian yang melibatkan seramai 94 mangsa yang terdiri daripada warganegara kita termasuk kanak-kanak dan warga asing,” katanya.

Katanya ketika memberikan penerangan mengenai insiden tanah runtuh di bawah Peraturan Mesyuarat 14 (1) (i) pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 hari ini.

Sehingga kini, seramai 61 mangsa telah terselamat manakala 24 mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala sembilan lagi masih hilang.

Berikutan tragedi itu ketika beliau melawat tempat kejadian, kerajaan telah mengumumkan bantuan segera sebanyak RM1,000 kepada semua mangsa yang terselamat dan RM10,000 kepada keluarga mangsa yang meninggal dunia.

Hampir 700 anggota daripada 16 agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat serta pengurusan lain di tempat kejadian sebaik sahaja Pos Kawalan Tempat Kejadian dibuka hingga ke hari ini.