Tindakan tegas terhadap penyebar fitnah – Fahmi

Kerajaan Perpaduan menerusi Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan mengambil langkah lebih tegas bagi membendung kempen fitnah keterlaluan pihak lawan khususnya di media sosial supaya tidak berlaku seperti mana pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata kerajaan akan sentiasa menyokong kebebasan bersuara termasuk di platform media sosial tetapi bukan digunakan sebagai tiket untuk menabur fitnah.

Menurutnya langkah itu begitu penting untuk memastikan kemelut politik negara tidak akan berulang dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini yang dilihat cukup stabil.

“Fitnah ini kita (kerajaan) kena ambil tindakan yang lebih tegas.

“Saya bagi jaminan InshaAllah kali ini kita (kerajaan) berusaha lebih tangkas dan kita akan ambil tindakan lebih tegas.

“Kita tidak akan benarkan langkah, tebuk atap, masuk ikut pintu belakang, masuk ikut cermin tepi dan tindakan yang cuba merosak atau memporak-perandakan Kerajaan Perpaduan yang telah dibentuk atas titah perkenan Duli Tuanku Raja-Raja Melayu,” katanya pada ucapan perasmian Konvensyen Pemantapan Penerangan PKR Selangor, semalam.

Katanya, Kerajaan Perpaduan ini wajib dipertahankan kerana diyakini mampu untuk menjadi sebuah kerajaan yang akan membuat satu perubahan yang sangat baik untuk rakyat.

Pada masa yang sama, Fahmi turut mengulas mengenai penularan beberapa video yang melibatkan beberapa siswi Perikatan Nasional (PN) menularkan kata kata fitnah ke atas Kerajaan Perpaduan.

“Ada parti yang menamakan dirinya parti agama boleh mendidik golongan wanita muda untuk menjadi pemfitnah dan itu bukan parti agama namanya.

“Sampaikan dia boleh kata (fitnah) Nurul Izzah yang menentukan tender,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai turut mengingatkan agar semua pihak untuk tidak melakukan perbuatan memfitnah sekiranya tidak mahu disiasat oleh pihak berkuasa.

BACA JUGA Kerjasama PH, BN: Agihan kerusi PRN dijangka diumum hujung Mac