Tingkatkan inisiatif KDB didik, baiki kesedaran pengguna internet

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan terus melakukan penambahbaikan melalui pelbagai pendekatan bagi memastikan masyarakat awam mendapat pengetahuan dalam melaksanakan program kesedaran dan pendidikan keselamatan internet menerusi program Klik Dengan Bijak (KDB)

Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) Ahmad Fahmi Fadzil berkata demikian ketika merasmikan majlis Pelancaran Ulang Tahun ke-10 Klik Dengan Bijak anjuran MCMC di Auditorium MCMC di Putrajaya, pagi tadi.

Katanya, di sebalik kecanggihan internet serta kemudahan yang ditawarkan terdapat risiko dan ancaman yang menggugat kesejahteraan pengguna internet serta keselamatan negara.

“Saban hari kita mendengar cerita dan berita keluhan mengenai pelbagai jenayah siber di dalam talian.

“Oleh itu, pihak MCMC telah mengambil langkah proaktif dengan inisiatif KDB untuk mendidik dan meningkatkan kesedaran pengguna internet tentang keselamatan dalam talian dengan menitikberatkan kawalan kendiri berdasarkan prinsip Rukun Negara.

“Saya difahamkan MCMC juga telah merancang pelbagai program terutama untuk memperkasakan pelaksanaan program dan aktiviti berkaitan penularan maklumat palsu, tuturan kebencian (hate speech) dan penipuan dalam talian (scam),” katanya dalam ucapan perasmian.

Menurut Fahmi, sehingga 2023, inisiatif KDB yang bermula sejak 2012 telahpun mencapai lebih 7 juta capaian audiens melalui pelbagai program dan aktiviti yang telah dijalankan antaranya pameran, kempen, taklimat, pertandingan, forum dan seminar.

Beliau menyokong usahasama rakan strategik serta rangkaian yang kukuh menerusi inisiatif KDB kerana ianya memberi kesedaran serta pendidikan kepada orang ramai mengenai penggunaan internet yang positif, produktif dan bertanggungjawab.

Sebelum ini ketika era pandemik Covid-19, MCMC telah mengambil langkah proaktif dengan menganjurkan “Program Bicara Klik Dengan Bijak” yang dijalankan secara dalam talian.

Program berkenaan dijalankan bagi memastikan semua pengguna internet mempunyai akses kepada maklumat untuk mengawal risiko dalam talian dengan pembudayaan norma baharu kehidupan, terutamanya kanak-kanak.

Bermula tahun 2020, KDB juga telah memperkenalkan MyCybergenius yang merupakan kaedah penilaian advokasi dan pengumpulan data maklumat tahap pemahaman peserta terhadap modul-modul KDB.

Untuk tahun 2020, purata tahap pemahaman peserta KDB adalah pada kadar 81.17 peratus dan peratusan ini telah meningkat kepada 82.72 peratus pada 2021 dan 83.99 peratus pada tahun 2022.

BACA JUGA Jangan ada tekanan, senyumlah macam pramugari