Tinjauan infrastruktur sekolah bukan untuk raih populariti

Tinjauan infrastruktur sekolah bukan untuk raih populariti

Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh menyifatkan tinjauan infrastruktur oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke sekolah-sekolah bukan semata-mata untuk meraih populariti.

Sebaliknya beliau berkata, berdasarkan kajian dijalankan Kumpulan Bank Dunia (WBG), sekolah yang mempunyai persekitaran baik menyumbang kepada kehadiran dan kesihatan murid-murid.

“Perkara ini dilaksanakan bukan semata-mata kerana ingin mendapatkan populariti, tetapi berdasarkan kajian impak infrastruktur sekolah terhadap pembelajaran yang dijalankan WBG, sekolah yang mempunyai kualiti persekitaran yang baik termasuk fasiliti kebersihan, menyumbang kepada kehadiran dan kesihatan murid.

Syed Ibrahim Syed Noh

“Biarpun sehingga Datuk Seri Anwar digelar ‘Inspektor Tandas’, tetapi disiplin ini berakarkan khidmat kepada rakyat.

“Ia dilihat membawa kesan sehingga ke sekolah seluruh kawasan parlimen, termasuklah di parlimen saya iaitu di Ledang.

“Saya ingin menzahirkan penghargaan dan mendukung usaha Yang Amat Berhormat Tambun atas inisiatif tinjauan infrastruktur sekolah yang digerakkan oleh beliau,” katanya pada sesi perbahasan hari kedua usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Syed Ibrahim lagi, kejayaan ekonomi dan sosial sesebuah negara bermula dengan modal insan yang berintegriti dan ia terbina hasil daripada beberapa komponen kritikal yang wajib dipelihara dalam sebarang situasi.

Katanya, dua komponen penting yang diperlukan untuk membina sesebuah negara dan generasi adalah sistem pendidikan yang menyeluruh dan sistem kesihatan yang utuh.

“Dalam penegasan ketujuh Kajian Separuh Penggal ini, kerajaan meletakkan keutamaan untuk memperkukuh sistem pendidikan bagi menyediakan bakat tersedia pada masa hadapan.

“Saya berpegang bahawa pembangunan pendidikan yang berteraskan manusiawi secara holistik yang disokong dengan pembentukan modal insan yang tepat, membawa dampak kepada unjuran ekonomi kita ke hadapan,” ujar beliau lagi pada sesi tersebut.

Pada 3 Jun lalu, Anwar telah membuat teguran bahawa kebanyakan tandas di sekolah di negara ini tidak terjaga dan dibaikpulih sebaiknya.

Katanya, beliau telah mengarahkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memeriksa tandas-tandas berkenaan bagi memastikan setiap murid bertanggungjawab terhadap kebersihan dan mendapat kemudahan yang selesa.

“Bila saya suruh Fadhlina (Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek) periksa tandas di sekolah-sekolah, banyak yang rosak, berpuluh tahun tiada siapa peduli.

“Bagaimana kita nak hantar anak ke sekolah kalau tandas rosak. Anak kita manusia, bukan dewa yang tak perlu ke tandas,” kata Anwar lagi.

Untuk rekod, Anwar menjawat jawatan sebagai Menteri Pendidikan pada 1986 ketika era pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam hal berkaitan, kerajaan telah mengagihkan peruntukan RM70,000 kepada setiap sekolah di seluruh negara hanya untuk membaiki tandas sekolah.

Kementerian Pendidikan (KPM) pada Julai lalu yang memberi tempoh tiga bulan kepada semua sekolah untuk menyelesaikan kerja penyelenggaraan tandas demi keselesaan pelajar.

Hasilnya, mulai bulan ini, orang ramai meluahkan rasa gembira dan puas hati dengan keadaan tandas sekolah yang lebih selesa selepas dinaik taraf.

 

BACA JUGA Ramai gembira tandas sekolah makin cantik selepas dinaiktaraf

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )