
Tiong selar Mas Ermieyati, tuduh mabuk guna Islam
Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing menyelar anggota pembangkang Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) yang menggunakan Islam sebagai hujah mereka dalam melemparkan tuduhan terhadapnya.
“Janganlah guna isu yang bukan-bukan,” katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2024 hari ini.
“Contohnya MP Masjid Tanah kata saya mabuk, saya minum (arak), saya nak katakan bahawa saya bukan orang Islam, saya minum apa salahnya?
“Saya pergi Pelangai sana (semasa pilihan raya kecil), mereka ajak saya menyertai Festival Tanglung, saya minum, saya bermain dengan budak-budak macam orang ‘gila’ sikit, apa salahnya?
“Kalau saya orang Islam, saya memang tak boleh buat macam itu, tapi saya bukan Islam, maka saya boleh buat,” katanya lagi.
Pada 16 Okt lalu Mas Ermieyati secara sinis menegur Tiong yang dianggapnya tidak sesuai menjalankan tugas sebagai menteri yang menjaga hal ehwal pelancongan, seni dan budaya berdasarkan video yang dikongsi oleh Tiong di akaun Facebook.
Mas Ermiyati mempersoalkan samada Tiong mahu memperkenalkan Malaysia denan cara mabuk dan menari di khalayak ramai.
Tiong ialah presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), ahli parlimen Bintulu dan Adun Dudong.