
TMJ puji kerja keras Hannah Yeoh
Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim memuji kualiti kerja yang ditunjukkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Baginda yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) berkata, Ahli Parlimen Segambut itu cukup fokus terhadap kerjanya bagi memartabatkan industri sukan dan pembangunan belia di Malaysia.
Ketika ditanya mengenai dinamika politik dan keseimbangan barisan kepimpinan negara, baginda mempunyai pandangan tersendiri mengenai perkara tersebut.
“Beliau (Hannah Yeoh) seorang yang hanya fokus kepada kerjanya. Apabila ada kerja, beliau lakukan kerjanya,” kata Tunku Ismail.
TMJ berkata demikian dalam podcast Keluar Sekejap bersama bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Shahril Hamdan, malam tadi.
Untuk rekod, pelbagai langkah dilakukan Hannah untuk memajukan sukan negara termasuk menyelesaikan beberapa masalah tertunggak sejak sekian lama.
Beliau dengan kerjasama Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) memberi peluang kepada para pelajar sekolah untuk menggunakan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) secara percuma.
Usaha lain yang beliau lakukan adalah menggalakkan sektor swasta dan korporat untuk mengikut jejak langkah AEON BiG (M) Sdn Bhd (AEON BiG) memperkenalkan Program Inisiatif Sukan Rahmah.