Tokoh PH-BN Negeri Sembilan diyakini dapat runding persiapan PRN
Kewujudan beberapa tokoh utama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Negeri Sembilan diyakini dapat memastikan proses rundingan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) berjalan lancar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi, Datuk Mohamad Taufek Abd. Ghani berkata, sokongan BN terhadap Belanjawan 2023 pada 30 November lalu sehingga diluluskan dengan sebulat suara merupakan tanda positif bagi kerjasama PH-BN dalam PRN nanti.
“Kita ada beberapa tokoh dari pelbagai parti yang memegang tampuk kepimpinan di peringkat tinggi iaitu Naib Presiden PKR, Datuk Seri Aminuddin Harun yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan.
“Negeri Sembilan juga ada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang merupakan Setiausaha Agung DAP serta Timbalan Presiden Umno, Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan),” katanya dalam temuramah khas Harapan Daily hari ini.
Pengarah Pilihan Raya AMANAH negeri itu juga berkata, ketiga-tiga pemimpin terbabit diyakini boleh berbincang mengenai persiapan untuk Kerajaan Perpaduan pada masa ini dapat menghadapi PRN.
“Saya yakin jika melihat pada sidang Belanjawan 2023 tahun lalu yang dibentangkan oleh Menteri Besar, kita mendapat undi sebulat suara.
“Tidak pernah lagi berlaku pihak daripada BN menyokong belanjawan yang dibentangkan oleh kerajaan. Itu tanda-tanda positif,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau mengakui perlunya penjelasan terhadap pemimpin di peringkat akar umbi mengenai kewajaran kerjasama PH dan BN pada PRN yang bertujuan bagi membangunkan negeri dan negara ini.
“Kita semua perlu memahami bahawa tumpuan pada masa ini adalah untuk memulihkan ekonomi dan menarik pelaburan masuk ke Malaysia.
“Kita perlu fokus kepada usaha ini dengan kepimpinan Perdana Menteri dan seluruh kepimpinan Kerajaan Perpaduan boleh bersama-sama memberi tumpuan kepada memulih dan membangunkan negara kita,” katanya.
Oleh sebab itu, tegas Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan negeri tersebut, sikap berpolitik secara keterlaluan tidak harus berlaku apa lagi menggugat kerajaan sedia ada.
“Beri peluang untuk kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri berusaha memulihkan keadaan negara ini.
“Di peringkat Negeri Sembilan, saya yakin perbincangan (mengenai rundingan agihan kerusi) akan dibuat bersama dengan kepimpinan BN Negeri Sembilan untuk merancang persiapan bagi menghadapi PRN,” tambah Naib Pengerusi AMANAH negeri itu lagi.
Pada masa ini, PH menguasai 20 daripada keseluruhan 36 kerusi DUN pada PRU14 manakala BN memiliki 16 kerusi.
Sebelum ini, Aminuddin yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan dilapor mencadangkan pembubaran DUN pada 1 Jun depan.
Namun, tarikh yang sekali gus memberi laluan kepada penganjuran PRN itu bergantung pada keputusan Majlis Presiden PH dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menetapkan tarikh PRN di Negeri Sembilan serta lima lagi negeri lain.
BACA JUGA Lebih 5,000 usahawan mikro Negeri Sembilan dapat manfaat TUN, TUNS PLUS
Â