Tolak politik sayap kanan ekstrem Pas

Rakyat perlu menolak parti politik yang menggunakan pendekatan politik sayap kanan ekstrem di negara ini yang mengembangkan perasaan benci, kemarahan dan ketakutan rakyat yang boleh dilihat menerusi tindak-tanduk pemimpin Pas, kata Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abdul Samad.

“Pas menanam kebencian dan politik seperti ini (dikenali) sebagai ‘politik sayap kanan’ seperti yang diamalkan oleh Adolf Hitler dan Nazi Jerman dengan menanam doktrin.

“Negara ini mengamalkan sistem demokrasi berparlimen, di mana rakyat memilih atas dasar maklumat yang tepat dan bukan atas dasar kebencian serta ketakutan yang ditanam atau diada-adakan sepertimana yang dilakukan oleh golongan politik sayap kanan atau golongan Pas sekarang ini,” katanya pada Program Bicara Khalid Samad: ‘Matlamat Halalkan cara: Kaedah baru Pas?’ yang disiarkan secara langsung menerusi JOMchannel, malam tadi.

Katanya, amalan Pas dengan fitnah dan penipuan hanya akan melemahkan agama Islam dan merosakkan akhlak golongan muda serta budaya politik di negara ini.

Tambah Khalid, perlakuan oleh Pas itu tidak langsung membina akhlak umat Islam sedangkan penghayatan Islam itu sendiri menuntut akhlak dan amalan yang baik.

“Apa yang kita nampak sekadar kemenangan (Pas) di peti undi dan itu pun disebabkan oleh kerana penipuan dan pembohongan yang diamalkan dan dibudayakan.

“Ini yang kita rasa merosakkan budaya politik negara dan masyarakat dan itulah sebab kenapa kita perlu tangani persoalan ini dengan baik supaya politik kita menjadi politik yang matang dan berakhlak serta bukan dikata sebagai matlamat halalkan cara,” katanya.

Dalam pada itu, Khalid turut mengulas isu yang membabitkan kedudukan kewangan parti Bersatu yang turut menganggotai Perikatan Nasional (PN). Bersatu dipercayai mempunyai lebih RM300 juta di dalam akaun parti dalam masa singkat.

Selain Bersatu, Perikatan Nasional dianggotai oleh Pas dan Gerakan. Khalid mahukan penjelasan Pas berkenaan wang yang dikatakan dipunyai oleh Bersatu.

“Sepatutnya dalam kes ini, mereka (Pas) memberikan penjelasan dapatkan duit itu daripada mana kerana sekarang ini nampak begitu mewah.

“Nampak gaya Pas seperti akan mempertahankan (Bersatu) selagi mana Hadi Awang adalah Presiden Pas,” ujarnya.

BACA JUGA: Segalanya halal demi kuasa Pas