
Tolonglah guna kementerian jawab tohmahan tak betul – Sany Hamzan
Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) menggesa agar Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) berperanan lebih efektif untuk menepis tohmahan tidak benar terhadap kerajaan.
Beliau berkata, berikutan banyak maklumat tidak benar yang disebar terhadap kerajaan, Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) selaku menteri perlu menggunakan kementerian beliau sebaik mungkin untuk membendung penularan maklumat sedemikian.
“Tak boleh ke kementerian Yang Berhormat ni bila ada tohmahan-tohmahan tak betul ni, tolonglah jawab. Masuk dalam TV1, TV2, TV3..
“Untuk bagi satu pendedahan kepada seluruh masyarakat dan rakyat dalam negara kita ni. Contoh ada orang sebut kalau orang ini jadi Perdana Menteri, dia akan halalkan LGBT. Itu tidak berlaku
“Sebab itu saya nak minta menteri, ada kementerian gunakan kementerian untuk jawab balik tohmahan tak betul yang dilemparkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.
Beliau bangkit berdiri ketika Fahmi sedang menggulung Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) melibatkan kementeriannya di Dewan Rakyat.
Menjawab gesaan itu, Fahmi berkata beliau turut kesal dengan penyebaran maklumat tidak benar yang kadangkala berlaku dengan sangat pantas.
Sebagai contoh, hari ini tular dakwaan bahawa kerajaan membeli minyak sawit dari China di mana menurut Fahmi, ada portal media yang melapor secara salah menyebabkan orang ramai turut salah faham.
Apa yang berlaku ialah China telah menggandakan import minyak sawit dari Malaysia. Sebelum ini, China membeli 250,000 tan minyak sawit dari Malaysia setahun dan jumlah itu meningkat kepada 500,000 tan setahun.
Fahmi menasihatkan agar semua pihak dapat membuat perbandingan dari beberapa media sebelum mempercayai sesebuah laporan berita.
BACA JUGA Elok YB tiba buat ‘spotcheck’, 200 kampit beras 10 kg sampai dari pengilang