Tuduhan rasuah RM 92.5 bilion: Adakah Mahiaddin akan didakwa? Bahagian 2

Dalam siri pertama semalam saya ada memperkatakan fasal penangkapan dan penahanan seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat yang dikatakan menjadi broker atau dalang kepada projek kerajaan yang ada kaitan dengan pakej rangsangan Covid-19 yang dikatakan bernilai RM 92.5 biilion itu.

Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Muhyiddin, nampaknya dia sendiri mengakui CEO tersebut adalah salah seorang pemimpin partinya, Bersatu, di peringkat bahagian Segambut di Kuala Lumpur.

Pengguna media sosial banyak memperkatakan tentang individu ini.

Jujurnya, saya tidak pasti adakah fakta-fakta berikut ini yang dikaitkan dengan CEO ini adalah benar atau tidak.

Dia dikatakan adalah orang kanan Muhyiddin. Dia dikatakan juga mantan CEO Maju Assets Sdn Bhd dan Ahli Majlis Yayasan Kebajikan Golf Tan Sri Muhyiddin.

Jika diandaikan fakta-fakta itu adalah betul,mungkin tidak pelik jika dia dikatakan orang kanan atau orang kuat Muhyiddin.

Kelmarin, saya nyatakan bahawa dia dikatakan adalah sepupu kepada menantu Muhyiddin.

Menantu Muhyiddin itu pula dikatakan pernah terkait dengan beberapa skandal kewangan sebelum ini.

Antaranya, menantu Muhyiddin itu pernah dikaitkan dengan isu 1BestariNet- projek yang dikatakan bernilai RM 4.47 bilion bagi menyediakan kemudahan jalur lebar dan kemudahan pembelajaran maya (VLE) kepada 10,000 sekolah kerajaan di seluruh negara.

Projek yang agak mega itu diperkenalkan pada tahun 2011 semasa Muhyiddin menjadi menteri pendidikan.

Umum mengetahui bahawa projek 1BestariNet itu ada kaitan dengan syarikat YTL dan ia dianggap “projek yang gagal”.

Mantan menteri pendidikan kerajaan Pakatan Harapan Maszlee Malik ada juga menyebut isu 1BestariNet dalam bukunya, Memori Bukan Memoir.

Kelmarin saya juga menyatakan bahawa SPRM telah menyerbu lapan agensi kerajaan dan sembilan buah syarikat.

Lapan agensi kerajaan itu dikatakan telah menerima peruntukan besar melalui pakej rangsangan Covid-19 itu.

Sembilan buah syarikat itu pula diserbu oleh SPRM bagi mendapatkan ” dokumen tertentu” kerana syarikat-syarikat ini adalah pembekal utama kepada 8 agensi kerajaan berkenaan.

Ada maklumat yang tidak dapat dipastikan kesahihannya iaitu berkenaan lima orang tengah daripada beberapa buah syarikat yang dituduh terlibat dalam mendapatkan projek melalui rundingan terus yang bernilai di antara RM 50 juta sehingga RM 500 juta.

Dan ada juga maklumat yang tersebar di media sosial – yang tidak dapat dipastikan kebenarannya. Beberapa kontraktor telah menyatakan pada SPRM bahawa mereka bersetuju untuk bayar tiga hingga lima peratus komisyen pada orang tengah bagi mendapatkan projek.

Mungkin Ahli Parlimen boleh tanya di Parlimen nanti untuk pihak Kerajaan berikan senarai 8 agensi Kerajaan itu dan senarai sembilan buah syarikat yang diserbu itu.

Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan telah dilapor media sebagai berkata bahawa pemimpin Perikatan Nasional bersedia beri kerjasama pada SPRM. Alhamdulilllah meskipun kenyataan seperti itu macam skrip standard para ahli politik.

Muhyiddin pula dilapor media telah mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa penyelewengan membabitkan RM92.5 bilion adalah rekaan.

Dengan hormat saya rasa lebih elok dia berdiam diri daripada berkata dakwaan itu adalah rekaan.

Saya faham dari segi politik dia mungkin kena ” buka mulut” tetapi peguam beliau sepatutnya menasihatinya untuk ” kunci mulut” sebab perkara ini berkaitan undang – undang.

BACA JUGA: Tuduhan rasuah RM 92.5 bilion – adakah Mahiaddin bakal didakwa?- Bahagian 1