Tujuh negeri diramal hujan lebat, ribut petir sehingga malam ini

Tujuh negeri termasuk Kelantan dan Terengganu diramal dilanda hujan lebat dan ribut petir beserta angin kencang sehingga jam 8 malam ini.

Hujan lebat dan ribut petir turut diramal di Pahang membabitkan kawasan Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong, Temerloh, Maran dan Bera.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan di Facebook memaklumkan Negeri Sembilan turut menerima ramalan sama membabitkan kawasan Jelebu selain ibu negara serta Gombak dan Hulu Langat di Selangor.

“Di Sarawak pula, hujan lebat dan ribut petir diramal melanda Miri (Marudi) dan Limbang manakala di Sabah membabitkan kawasan pedalaman (Sipitang, Kuala Penyu, Beaufort dan Nabawan), Pantai Barat, Sandakan (Telupid dan Beluran), Kudat serta Labuan.

“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda menunjukkan ribut petir dengan hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

“Amaran ribut petir ialah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam,” katanya.

Orang awam boleh merujuk laman web www.met.gov.my dan semua media sosial rasmi MET Malaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih.