Tumbangkan kerajaan: Mudaratkan demokrasi berparlimen

Oleh DR ZULQARNAIN LUKMAN

Seksyen 124B sehingga 130A Kanun Keseksaan adalah berkaitan dengan kesalahan menggugat demokrasi berparlimen, sabotaj dan espionaj.

Kesalahan aktiviti menggugat atau memudaratkan demokrasi berparlimen didefinisikan sebagai aktiviti yang dijalankan oleh seseorang atau sekumpulan orang yang direka untuk menggulingkan atau menjejaskan demokrasi berparlimen dengan cara yang ganas atau tidak mengikut perlembagaan.

Selain itu, Kanun Keseksaan juga menjadikan kesalahan bagi sesiapa yang menyebarkan dokumen atau pun penerbitan dokumen yang mempunyai kecenderungan untuk menggugat demokrasi berparlimen, antaranya dokumen atau penerbitan yang boleh menggugat pengekalan ketenteraman awam atau menghasut kepada keganasan.

Kesalahan berkaitan isu ini adalah kesalahan yang berat kerana setiap hukuman itu boleh dihukum penjara antara lima tahun sehingga sepanjang hayat.

Berkaitan kenyataan ahli Parlimen yang ingin menjatuhkan Kerajaan Perpaduan yang ada sekarang ini boleh disiasat di bawah seksyen ini.

Misalnya, jika kenyataan itu dibuat dan melibatkan unsur-unsur keganasan maka ianya menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 124H yang menyatakan sesiapa yang secara lisan atau secara bertulis menghasut kepada keganasan atau keingkaran yang ganas kepada undang-undang atau apa-apa perintah sah boleh dihukum penjara sehingga lima tahun.

Sikap pembangkang yang berterusan mahu menumbangkan Kerajaan Perpaduan bercanggah dengan titah Yang di-Pertuan Agong supaya mengekalkan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga tamat penggal.

Namun, jika sekali pun kenyataan itu tidak melibatkan unsur keganasan tetapi mempunyai kemungkinan untuk mencetuskan kebimbangan awam, maka ianya adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 124I yang menyatakan sesiapa yang membuat kenyataan lisan atau bertulis termasuk di media elektronik menyebarkan laporan palsu atau kenyataan palsu yang mungkin menyebabkan kebimbangan awam boleh dihukum penjara sehingga lima tahun.

Kenyataan bahawa ada usaha untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan ini adalah satu contoh kenyataan yang boleh menyebabkan kebimbangan awam ini khasnya boleh menggugat kepercayaan pelabur dan seterusnya mendatangkan kemudaratan ekonomi.

Ini boleh menjurus kepada kebimbangan awam tatkala Kerajaan Perpaduan bersungguh-sungguh untuk membangun ekonomi rakyat yang sudah terkesan akibat Covid-19.

Seksyen 124I ini tidak mensyaratkan ada unsur-unsur keganasan. Memadailah kenyataan palsu seperti itu boleh mendatangkan kebimbangan awam maka ianya adalah satu kesalahan.

Begitu juga, sekiranya kenyataan seperti itu dibuat dan dihasratkan olehnya bahawa ianya bukan melalui keganasan sekali pun seperti melalui pengumpulan surat akuan ahli-ahli Parlimen, ianya tetap menjadi satu kesalahan asalkan ianya satu kenyataan palsu yang mempunyai kemungkinan untuk menyebabkan kebimbangan awam.

Oleh itu, PDRM hendaklah menyiasat kenyataan sama ada ianya adalah satu kenyataan palsu atau pun tidak.

Seterusnya, jika kenyataan itu palsu PDRM perlu menyiasat sama ada kenyataan itu boleh mendatangkan mendatangkan kebimbangan awam.

Setakat apa yang dilihat pada hari ini kenyataan sebegitu adalah satu kenyataan palsu kerana sudah terbukti di Parlimen melalui usul undi percaya yang dbuat pada 19 Disember 2022 menunjukkan Kerajaan Perpaduan pada hari ini disokong oleh dua pertiga majoriti ahli-ahli Parlimen.

*Penulis merupakan Biro Undang-Undang (KANUN) Parti Amanah Negara (AMANAH).

 

BACA JUGA Hadi boleh dipenjara hingga lima tahun