Tunggakan bil TNB: AMK Kelantan bidas kerajaan pimpinan Pas

Majlis Pimpinan AMK PKR Kelantan Mohd Afiq Asyraf Mohd Nazi membidas kerajaan negeri pimpinan Pas yang melengahkan pembayaran tunggakan bil Tenaga Nasional Berhad (TNB) sehingga mencecah RM 35 juta di negeri itu.

Afiq berkata tindakan tersebut tidak selari memandangkan Air Kelantan Sdn.Bhd (AKSB) memberi saguhati sebanyak RM10,000 kepada ahli lembaga syarikat.

“Saya hairan dengan kerajaan negeri yang sering kali mengatakan mereka menghadapi masalah kekurangan dana daripada Kerajaan Pusat, sehingga tunggakan bil elektrik RM35 juta gagal dibayar tetapi boleh pula beri saguhati RM10,000 kepada Lembaga Pengarah,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily, hari ini.

Selain itu, sayap muda parti tersebut menyambut baik langkah Perdana Menteri yang memperuntukkan RM1 bilion untuk menyelesaikan masalah bekalan air di negeri pantai timur itu.

Namun katanya, sehingga kini pihak kerajaan negeri dilihat tidak bersungguh untuk terlibat sama bagi merealisasikan hasrat tersebut.

“Setakat ini tiada perbincangan lanjut daripada Menteri Besar, walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sedia memberi kerjasama.

“Ia dilihat, mereka seolah-olah tidak bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan isu air di Kelantan ataupun AKSB lubuk duit mereka,” dakwanya.

Pada 22 Mei lalu, seorang individu dikenali sebagai Wan Mahussin Wan Zain berkongsikan salinan notis yang didakwa dikeluarkan AKSB mengenai pemberian Aidilfitri pada tahun ini.

Notis tersebut antara lain memaklumkan, AKSB meluluskan pemberian sagu hati sebanyak RM10,000 kepada semua ahli lembaga pengarah AKSB manakala semua kakitangan syarikat menerima bayaran RM200.

Dalam pada itu, anak jati Kelantan tersebut berkongsikan butiran jumlah tunggakan bil utiliti TNB yang gagal dilangsaikan oleh syarikat air negeri berkenaan sejak Julai tahun lalu.

Jumlah tunggakan dan bil semasa  TNB bagi kesemua 50 Loji Rawatan Air (LRA) di Kelantan sehingga Julai 2022 mencecah sebanyak RM35, 221, 412.