Tuntutan ke atas Pulau Pinang: Sanusi panik
Kontroversi yang dicetuskan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa Pulau Pinang milik Kedah baru-baru ini, menunjukkan beliau seolah-olah panik dengan keadaan semasa.
Pengerusi Parti AMANAH Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, Sanusi menyedari bahawa arus sokongan yang diterima Perikatan Nasional (PN) dan Pas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu, semakin berkurangan.
Katanya, dalam konteks Kedah, arus sokongan pengundi banyak dibina oleh Sanusi sendiri pada sebelum ini.
“Jadi, apabila Kerajaan Perpaduan yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah mula turun jelajah, kita dapat membaca sokongan rakyat juga telah mula bersama dengan kita (Kerajaan Perpaduan) termasuklah di negeri ini, Terengganu dan Kelantan,” kata Ismail yang juga Adun Pengkalan Kundor.
“Apabila Sanusi melihat perubahan (sokongan) itu, dia mula jadi macam panik. Ketika kita turun ke bawah (berjumpa masyarakat), dapat dilihat orang-orang Melayu yang dahulunya menyokong PN, kini sudah mula beralih sokongan.
“Jadi, Sanusi kembali dengan permainan sentimen dia itu.. dulu dia menang sebab dapat raih sokongan dengan permainan sentimen Melayu-Islam… sekarang dia bermain dengan isu kononnya Pulau Pinang milik Kedah.
“Ia menunjukkan Sanusi ini nak tunjuk kejaguhannya seolah-olah mempertahankan Kedah dan dia menjadi jaguh. Jadi, orang-orang yang berada di belakangnya tepuk tangan lah,” bidasnya.
Ismail berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan yang dikeluarkan Sanusi berkaitan sempadan Pulau Pinang dan Kedah.
Sanusi main sentimen merbahaya
Dalam pada itu, Ismail menyifatkan kenyataan dikeluarkan Sanusi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu sebagai sesuatu yang sangat bahaya.
“Dia bermain semula dengan sentimen tanpa menyedari permainannya ini sebenarnya sangat-sangat bahaya.
“Ini kerana sebagai menteri besar, dia sepatutnya faham tentang Perlembagaan Persekutuan.
“Negara kita ini berpegang dan berpandukan kepada Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya lagi.
Pada 29 Mei, Sanusi mendakwa Pulau Pinang adalah di bawah hak milik Kedah.
Beliau berkata, Perak dan Perlis juga adalah satu-satunya negeri yang mempunyai sempadan dengan Kedah.
“Saya tunggu daripada Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) kalau ada asas ditentusahkan sempadan Kedah dengan negeri jiran lain, yang saya tahu Pulau Pinang itu Kedah punya.
“Jadi tak dak la (tiada) sempadan Kedah Pulau Pinang itu, sempadan negeri kita (Kedah) dok sebelah Balik Pulau, dengan Perak mungkin ada.. nak ukur kat mana, nak pakai warta (undang-undang) nombor berapa?,” katanya seperti dilapor Harian Metro.
Perkara ini telah pun diulas oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh turut menyatakan bahawa keabsahan Pulau Pinang tidak boleh dipertikai.
Pengerusi DAP kebangsaan Lim Guan Eng menyifatkan kenyataan tersebut sebagai usaha mengalihkan perhatian rakyat dari kegagalan Pas untuk menyelesaikan masalah air di negeri Kedah dan Kelantan.