TVET kelas kedua? Padamkan persepsi

Persepsi yang mengatakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) adalah laluan pendidikan kelas kedua, perlu dipadam dari terus membelenggu masyarakat, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mohd Yunus Sakmud.

Beliau berkata TVET merupakan tunjang untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang menjadi pemangkin kepada kemajuan negara.

Atas sebab itu katanya, kerajaan ketika ini sedang giat memberi pendedahan terhadap potensi TVET, menjalankan program ‘out-reach‘ dan membuat hebahan kisah kejayaan lepasan TVET secara berterusan dalam usaha membina imej positif pendidikan kemahiran itu dalam kalangan masyarakat

“Secara umumnya, kebolehpasaran graduan dapat difahami sebagai keupayaan graduan memperoleh pekerjaan termasuk melanjutkan pengajian.

“Bagi membantu negara meningkatkan kebolehpasaran graduan, pelbagai inisiatif telah dilakukan oleh kerajaan terutama dalam (memastikan graduan) menguasai kemahiran-kemahiran penting seperti kemahiran teknologi, keusahawanan dan insaniah

“Berdasarkan laporan kajian pengesanan graduan tahun 2021, kadar kebolehpasaran graduan TVET yang direkodkan adalah 88 peratus,” katanya dalam sesi jawab lisan di Dewan Rakyat pagi ini.

Beliau menjawab soalan P. Prabakaran (Batu-PH) yang bertanya tentang stigma dalam masyarakat yang menganggap bahawa TVET adalah pendidikan kelas kedua, dan bertanya langkah kerajaan mengatasi permasalahan ini.

Yunus berkata kementeriannya mahu mewujudkan satu kerjasama berterusan antara pihak majikan dan kerajaan untuk mengambil graduan TVET bekerja, selain memberikan bayaran berpadanan dengan kemahiran yang dimiliki.

“Walaupun tiada sebarang penetapan gaji graduan TVET yang dikuatkuasakan oleh kerajaan, pertimbangan sewajarnya oleh pihak majikan adalah amat diharapkan.

“Ini kerana kerajaan telah melabur sejumlah peruntukan yang besar untuk melatih dan melengkapkan para graduan ini dengan kemahiran diperlukan majikan sebelum memasuki pasaran pekerjaan,” katanya lagi.

BACA JUGA: Kerajaan pertimbang urus yuran Orang Asli sertai TVET