
Ulang tuduhan lama konon peruntukan JAIS dipotong, Amirudin sekolahkan penyokong PN
Seorang penyokong Perikatan Nasional (PN) mendakwa kerajaan Selangor telah memotong peruntukan untuk Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada tahun 2021 – kononnya berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara.
Penyokong itu membuat dakwaan sedemikian bertujuan memberi persepsi bahawa kerajaan Pakatan Harapan di negeri Selangor mengabaikan pembangunan hal ehwal agama Islam.
Menjawab tuduhan berkenaan, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, laporan Ketua Audit Negara itu hakikatnya menegur tentang perbelanjaan JAIS yang kurang, bukan “peruntukan yang dipotong”.
Jelasnya, perbelanjaan JAIS berkurang pada tahun 2021 disebabkan negara ketika itu berhadapan pandemik Covid-19 sehingga mendorong Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin ldris Shah bertitah agar operasi masjid dan surau dihadkan penggunaannya.
Istana Alam Shah pada 2021 mengeluarkan kenyatan bahawa baginda Sultan memutuskan untuk terus mengehadkan fungsi masjid serta surau di seluruh negeri itu, susulan penularan Covid-19 yang masih membimbangkan.
“Baru-baru ini PN menyerang lagi dengan tuduhan bahawa kita telah memotong peruntukan untuk agama Islam khususnya untuk JAIS.
“Sebenarnya ini adalah tuduhan kitar semula yang mereka gunakan dalam PRU15 yang lepas.
“Tuduhan ini sebenarnya berpandukan kepada satu laporan audit yang merujuk kepada perbelanjaan, bukan peruntukan oleh kerajaan negeri dalam Hal Ehwal Agama Islam pada tahun 2021.
“Ini berlaku kerana sepanjang tahun 2021 ataupun hampir lapan bulan, masjid, sekolah agama dan banyak institusi lain tidak dapat berfungsi sepenuhnya. Yang berlaku cuma perbelanjaan berkurang disebabkan operasi tidak dapat berjalan,” katanya dalam satu video penjelasan yang dikongsi di Twitter hari ini.
Dalam laporan LKAN, telah dimaklumkan bahawa beberapa projek termasuk institusi Islam tidak berjalan akibat PKP pada 2021.
Pada masa sama, Amirudin mengemukakan fakta bahawa tahun ini, kerajaan negeri mencipta sejarah apabila memberikan peruntukan tertinggi kepada JAIS iaitu RM583 juta membabitkan penambahan gaji dan elaun kepada guru-guru kafa.
Katanya, ia lebih tinggi berbanding ketika Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjadi menteri besar.
“Jadi kena faham beza perbelanjaan dengan peruntukan. Jangan koyak dan jangan terciduk. Terima kasih, undi Pakatan Harapan,” ujarnya.
Baca juga: Politik medan berkhidmat untuk rakyat bukan caci maki tanam kebencian