
‘Umno-BN buat keputusan sertai Kerajaan Perpaduan bukan kerana DAP’
Keputusan Umno-BN bersama-sama di dalam Kerajaan Perpaduan bukan kerana DAP tetapi kerana demi kestabilan politik kepada negara, kata Naib Presiden Umno, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Menurutnya, penyertaan tersebut dilakukan selepas episod tiga kali bertukar Perdana Menteri pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa dakwaan menyatakan Umno dan BN bekerjasama dengan DAP adalah tidak tepat, malah tersasar sama sekali.
Jelasnya, BN dan DAP tidak berupaya untuk membentuk Kerajaan Perpaduan kerana jumlah kerusi dikuasai dua parti itu tidak cukup untuk membentuk kerajaan.
“DAP mempunyai 40 kerusi Parlimen, manakala UMNO dan rakan-rakan komponen BN mempunyai 30… 30 dicampur dengan 40 tidak boleh wujud kerajaan ‘unity’ (perpaduan).
“Sebenarnya kita buat keputusan untuk bersama-sama di dalam Kerajaan Perpaduan hari ini bukan kerana DAP, tetapi kerana kita mahu memberikan kestabilan politik kepada negara.
“Kita belajar daripada apa yang berlaku pada PRU14 apabila negara mempunyai tiga perdana menteri dalam tempoh satu penggal… huru-hara semuanya,” katanya ketika sesi Townhall Penerangan Umno semalam.
Dalam masa sama, Ahli Parlimen Titiwangsa itu berkata, pertukaran Perdana Menteri beberapa kali memberi kesan yang buruk kepada sesebuah negara khususnya daripada sudut ekonomi.
“Jika PRU14 bertukar tiga kali, kali ini bertukar empat kali… jadi akhirnya siapa yang akan menerima kesan ini….sudah tentu negara.
“Orang nak datang melabur pun takut, ‘capital market’ pun berterabur lari, orang bawa keluar duit tiap-tiap minggu daripada ‘capital market’ sebab dia nak tengok kestabilan politik.
“Jadi kita baru wujudkan kerajaan ini… jumlah 148 (kerusi di bawah) ‘unity government’ (kerajaan perpaduan)…sebab itu saya cakap tadi dalam masa lima tahun ini kita kena tunjukkan bukti ini,” ujarnya lagi.