UMNO kini sahabat meski perlu ‘kahwin paksa’ tubuh kerajaan – Mohamad Sabu

Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu tetap menganggap UMNO sebagai sahabat meskipun kerjasama yang dilakukan Pakatan Harapan (PH) dengan parti itu bagi membentuk  Kerajaan Perpaduan diibarat sebagai ‘kahwin paksa’.

Beliau berkata tindakan itu terpaksa dilakukan kerana tiada mana-mana parti memperoleh majoriti dalam Pilihan Raya Umum ke-15 untuk membentuk kerajaan.

“Pada pilihan raya yang lepas, tiada parti peroleh majoriti. Jadi kami terpaksa berkahwin. Jika ‘bapa’ kami kata kami kena kahwin, kami perlu lakukannya.

“Sekiranya kami mempunyai cukup bilangan kerusi, sudah tentu kami bersama Pakatan Harapan sahaja (tanpa melibatkan UMNO). Tapi kita cuma ada 82,” katanya dalam wawancara secara tertutup bersama beberapa media di Menara Pertubuhan Peladang hari ini.

Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, pihaknya tidak keberatan menganggap UMNO sebagai sahabat selepas berpuluh tahun saling berseteru.

“UMNO sahabat kita,” ucapnya bersahaja.

Ditanya adakah kerjasama ini dikira kahwin paksa, beliau menjawab; “Ya lama-lama jatuh cinta,” katanya.

Mengenai penerimaan penyokong AMANAH terhadap kerjasama dengan UMNO, Mohamad memberitahu ahli-ahli peringkat bawah begitu terbuka dan memahami.

“Penyokong kami terima (kerjasama) sebab mereka tahu bukan kami pilih. Tapi kami terpaksa pilih,” katanya.

Anwar bersama pemimpin parti-parti yang bergabung di bawah Kerajaan Perpaduan menandatangani perjanjian permuafakatan di Putrajaya pada 16 Disember 2022. Foto FB Salahuddin Ayub