Umno Selangor bersedia bincang agihan kerusi bersama PH

Umno Selangor telah bersedia untuk melakukan rundingan agihan kerusi bersama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengerusi Badan Perhubungannya, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, parti di negeri itu telah bersetuju dengan keputusan yang dicapai berkenaan kerusi yang akan ditandingi dan akan memulakan rundingan secara rasmi dengan parti komponen Barisan Nasional (BN) terlebih dahulu.

“Yang penting di peringkat Umno negeri kita sudah selesai dan Umno Selangor sudah bersedia untuk mengadakan perbincangan dan terserah kepada PH untuk memikirkan bagaimana kita boleh memulakan rundingan secara semangat Kerajaan Perpaduan.

“Sebelum itu, perbincangan dan rundingan bersama BN di peringkat komponen MCA dan MIC Selangor akan diputuskan terlebih dahulu,” katanya pada sidang media di Bangunan Umno Selangor di Shah Alam, Selangor lewat petang tadi.

Menurut Megat, jumlah bilangan kerusi yang ingin ditandingi oleh Umno dalam PRN Selangor juga telah dimaklumkan kepada Presiden Umno, Datuk Seri Zahid Hamidi.

Beliau turut memaklumkan bahawa Umno Selangor sudah mengenalpasti kerusi-kerusi yang akan ditandingi tetapi tidak memaklumkan jumlah dan kawasan yang bakal ditandingi selepas rundingan secara rasmi dicapai.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15) lalu, BN tidak berjaya memenangi sebarang kerusi yang ditandinginya di peringkat Parlimen di Selangor.

“Kita akui dalam PRU yang lepas kita tidak berjaya memenangi satu pun kerusi di peringkat Parlimen tetapi kita masih lagi mempunyai jumlah undi yang masih lagi banyak terutamanya di kawasan-kawasan majoriti Melayu.

“Ini mesti ada dalam asas rundingan untuk kita memulakan rundingan (bersama PH) tersebut nanti,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar yang telah memimpin parti itu di Selangor sebelum ini.