Undi popular PN masih tidak boleh tandingi undi popular PH-BN – Ilham Centre

Undi popular PN masih tidak boleh tandingi undi popular PH-BN – Ilham Centre

Meskipun Perikatan Nasional (PN) menyapu 146 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN), namun gabungan itu tetap tidak boleh menandingi undi popular dari blok Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN).

Ketua Penyelidik ILHAM Centre, Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim, berkata secara umumnya, analisis menunjukkan gabungan PH-BN meraih 49.5 undi popular pada PRN ini, manakala PN pula memperoleh sebanyak 49.3 peratus undi popular

“Kita lihat PN hampir menyapu bersih kerusi DUN di Kelantan dan Kedah, selain menyapu bersih di Terengganu, dan memperoleh banyak kerusi di sebahagian Selangor utara dan Seberang Perai, Pulau Pinang.

“Namun dari segi undi popularnya, ia hampir sama dengan PH-BN yang menang di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan,” katanya seperti dilapor BH, hari ini.

Melalui keputusan PRN di Selangor, PH-BN menenangi 34 kerusi, manakala PN (22 kerusi); Pulau Pinang, PH-BN meraih 29 kerusi, sementara PN (11 kerusi).

Di Negeri Sembilan pula, 31 kawasan DUN menjadi milik PH-BN manakala bakinya, lima kerusi diperoleh PN.

PN menyapu bersih 32 kerusi di Terengganu, manakala di Kelantan, PH-BN hanya mampu berpuas hati dengan memiliki dua kerusi, manakala baki 43 lagi berpihak kepada PN.

Sementara di Kedah, PN menang selesa di 33 kerusi, dan PH-BN pula hanya memperoleh tiga kerusi DUN di negeri itu.

Lapor portal itu lagi, Mohd Yusri berkata faktor utama pecahan undi popular ialah kerana kepadatan pengundi, yang mana kawasan seperti di Selangor dan Pulau Pinang mempunyai pengundi yang lebih padat di satu-satu kawasan DUN.

“Kepadatan pengundi itu berbeza jika dibandingkan dengan PN yang menang di Kelantan, Kedah dan Terengganu…atas dasar itu, banyak kerusi baharu dimiliki PN, namun undi popular masih lebih kurang sama atau sedikit di bawah PH-BN,” katanya.

Beliau berkata, PN mengungguli majoriti undi popular bagi segmen pengundi Melayu dan Muslim, manakala PH-BN pula meraihnya daripada pengundi segmen etnik bercampur, selain undi Melayu di kawasan bandar khususnya di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

BACA JUGA Raja Kamarul tegur parti bersikap ‘abang besar’ dalam Kerajaan Perpaduan

COMMENTS

Wordpress (0)