Ustaz Azhar tiada tauliah mengajar di Selangor, kata JAIS

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan penceramah bebas Ustaz Azhar Idrus tidak mempunyai tauliah mengajar tentang agama Islam di Selangor.

Pengarah JAIS Mohd Shahzihan Ahmad berkata demikian mengulas isu pembatalan Kuliah Maghrib Ustaz Azhar Idrus yang akan diadakan di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong pada Ahad ini.

Katanya, kuasa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan JAIS adalah tertakluk kepada undang-undang dan peraturan berkuat kuasa di Selangor.

“Semua individu yang mengajar tentang agama Islam di Selangor perlu mematuhi undang-undang dan peraturan.

“Pihak masjid atau surau juga tidak boleh menjemput individu tidak memiliki tauliah mengajar diberikan di bawah Seksyen 118 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 Pindaan 2016,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Bernama.

Sebelum ini tular poster yang mengatakan ceramah maghrib Ustaz Azhar di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah terpaksa dibatalkan.

“Mohon maaf kepada rakyat Selangor kerana tidak dapat menyampaikan kuliah di negeri anda.

“Oleh kerana itu Kuliah Maghrib pada tarikh 26 Februari ditukarkan ke Masjid Ar-Rahimah Kampung Pandan, Kuala Lumpur. Mohon sebaran seluasnya,” katanya.