Wadi Annuar akan dipanggil JAIPs kerana ceramah tanpa tauliah

Pendakwah terkenal, Ustaz Wadi Annuar akan dipanggil Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) berhubung ceramah tanpa tauliah di Kompleks Pendidikan MATIN, Kampung Abi, Padang Machang pada 30 Mac.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin (Maza) berkata, pendakwah berkenaan bersama penganjur iaitu Lajnah Dakwah dan Perkaderan PAS Kangar dikehendaki hadir bagi memberi keterangan di Pejabat JAIPs pada 17 April sebelum sebarang tindakan lanjut dilaksanakan.

“Kita (Jabatan Mufti negeri) keluarkan tauliah dan JAIPs yang melaksanakan penguatkuasaannya malah dalam hal ini, menerusi perjumpaan dengan Exco Agama Islam negeri, pihak berkenaan (Ustaz Wadi Annuar) sudah ditawarkan dan dipelawa memohon tauliah kerana kita akan nilai dulu, jadi dia pohonlah dulu tauliah itu.

“Kita hendak tengok juga siapa yang dia hendak ceramah tetapi dia enggan. Malah, semasa dua perjumpaan bersama JAIPs juga sudah ditegaskan supaya minta tauliah tetapi tetap enggan dengan alasan ceramah itu dilakukan di premis peribadi.

“Oleh sebab itu, kita tengok ia sudah sampai ke tahap yang mana toleransi kita selama ini dianggap sebagai ruang mempersendakan peraturan apatah lagi selepas dikeluarkan titah oleh Raja Perlis dan pemerintah di negeri lain mengenai tauliah,” katanya.

Tegasnya, kehadiran JAIPs bukan untuk menangkap Ustaz Wadi sebaliknya hanya mahu mengambil keterangan sahaja.

“Namun, tindakan itu dihalang hadirin dengan cara yang tidak terhormat meskipun terdapat anggota polis yang hadir mengawal.

“Apa yang mendukacitakan juga adalah ada yang mengeluarkan perkataan kafir kepada pihak berkuasa agama dan ini adalah satu hal yang tidak wajar terutama kita dalam Ramadan kerana kita mempunyai peraturan di semua tempat,” katanya.

Wadi Annuar atau nama sebenarnya Mohamad Wadi Annuar Bin Ayub ialah seorang penceramah agama bebas dari negeri Kedah.

Maza juga mempersoalkan tindakan pendakwah itu mendakwa penganjuran tersebut  tidak perlu memohon daripada Jabatan Mufti Perlis atas alasan premis persendirian.

“Apa maksudnya premis peribadi atau persendirian ini kerana semua premis mempunyai nama pemilik pada tanah.

“Namun apabila diadakan dengan poster yang memanggil muslimin dan muslimat datang, tidak mungkin itu semua keluarga terdekatnya,” ujarnya lagi.

Jelasnya, isu penceramah tanpa tauliah bukanlah hanya di Perlis sahaja tetapi ia berlaku di seluruh negara.

Sementara, satu laporan turut dibuat di balai Polis Kangar oleh JAIPs selepas anggota penguatkuasanya dihalang oleh penganjur daripada bertemu dengan Ustaz Wadi sewaktu ingin mengambil keterangan berhubung tindakan pendakwah itu memberi ceramah di negeri ini.

Pada 22 Mac lalu, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menitahkan agar pihak berkuasa agama dapat memantau dan memastikan agar setiap penceramah mendapatkan tauliah daripada Jabatan Mufti negeri.

BACA JUGA: Pembatalan ceramah: JAIS kesal pihak timbulkan persepsi buruk