
Wakil rakyat PN terbawa-bawa naratif tukar kerajaan, gagal jadi semak imbang
Wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) sama ada yang baharu atau lama, lebih banyak terbawa-bawa naratif untuk menukar kerajaan, tegas Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof.
”Secaranya umumnya, memang saya lihat begitulah. Maksudnya, tidak kira sama ada yang lama apatah lagi yang baharu, mereka (ahli parlimen) lebih memainkan isu untuk mengkritik kerajaan.
”Ini mungkin sebab mereka sudah terbawa-bawa dari awal lagi bahawa ada usaha nak ambil alih (kerajaan). Jadi, sampai sekarang setelah mesyuarat yang ketiga, masih lagi terbawa-bawa naratif ‘kerajaan jatuh’.
”Apabila dia (pembangkang) membawa naratif itu, perbincangan dan perbahasannya hanyalah lebih ke arah itu (mengkritik kerajaan),” katanya dalam program bersama Khalid Samad menerusi Jom Channel, malam tadi.
Bual bicara itu bertajuk ‘Bicara Ahli Parlimen dan Mantan Ahli Parlimen Shah Alam – Prestasi PN sebagai pembangkang’.

PN secara terbuka mengakui ada ‘usaha’ sedang dijalankannya untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan walaupun Agong telah bertitah supaya pentadbiran kerajaan dikekalkan demi kestabilan negara. Foto Afiq Hambali
Tambah Azli, apabila kritikan itu terus dilemparkan kepada kerajaan, ia menimbulkan sentimen bahawa Kerajaan Perpaduan gagal dan tidak membantu rakyat.
”Persoalannya sekarang, sebagai pembangkang yang membina, harus ada cadangan dan jalan penyelesaian yang baik. Barulah ia dipanggil semak dan imbang.
”Ataupun mungkin kalau ada kekurangan di pihak kerajaan, kerajaan boleh mengambil cadangan-cadangan (daripada pembangkang) untuk dipertimbangkan,” kata Azli lagi.
Untuk rekod, blok pembangkang pada sidang Dewan Rakyat pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diisi oleh Perikatan Nasional (PN) yang terdiri daripada Bersatu dan Pas.
PN juga dianggotai Gerakan, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP).
Penggal Parlimen ke-15 setakat ini menyaksikan blok pembangkang tidak sudah-sudah membangkitkan apa yang dianggap mereka sebagai gelombang menukar Kerajaan Persekutuan.
Keinginan meluap PN itu antaranya dikatakan akan menjadi kenyataan jika memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada Ogos lalu.
Malah, sejurus keputusan PRN diumumkan pun, Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang tetap mendakwa mereka masih boleh menukar Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat.
Keyakinan Presiden Pas tersebut berdasarkan kejayaan parti menunggang agama itu memenangi banyak kerusi walaupun tidak dapat merampas Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor.
BACA JUGA Selepas mengaku usaha jatuhkan kerajaan, kini Hadi kata Pas pilih demokrasi